Isnin, 27 Februari 2012

Perbincangan dengan Industri Automotif Mengenai Pelaksanaan Garis Panduan Berhubung dengan Pembiayaan yang Bertanggungjawab

Ref No: 02/12/10
Embargo: Untuk Siaran Segera

Bank Negara Malaysia telah mengadakan sesi perbincangan dan interaksi dengan perwakilan daripada industri automotif, yang diwakili oleh pegawai-pegawai kanan Proton, Perodua, Persatuan Automotif Malaysia, Persatuan Pengedar Proton Edar dan Persatuan Pengedar Perodua serta DRB-HICOM hari ini. Perjumpaan ini merupakan platform untuk membincangkan isu berkaitan dengan industri automotif yang dibangkitkan ekoran pelaksanaan Garis Panduan Mengenai Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab (Garis panduan) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2012.
Bank Negara Malaysia ingin menjelaskan bahawa maksud sebenar Garis panduan ini adalah untuk menggalakkan amalan pembiayaan runcit yang berhemat, bertanggungjawab dan telus serta memastikan sektor isi rumah dan pasaran kredit kekal berdaya tahan. Bank juga menegaskan bahawa individu dan isi rumah hendaklah membuat pinjaman mengikut kemampuan mereka dan Garis panduan ini tidak menghalang peminjam yang mampu membayar balik pinjaman. Dalam pelaksanaan Garis panduan ini, Bank juga telah memaklumkan institusi kewangan untuk memastikan bahawa pengguna yang mempunyai kemampuan dan keupayaan membayar balik pembiayaan terus mendapat akses kepada pembiayaan tersebut.
Pelbagai isu telah dibincangkan dalam perjumpaan tersebut dan isu ini akan diketengahkan kepada institusi kewangan termasuk keperluan dokumentasi untuk tujuan pengesahan pendapatan. Ini akan menyumbang kepada prosedur dan proses yang lebih efisien dalam pembiayaan kenderaan.
Sejak lima tahun kebelakangan ini, jumlah pembiayaan kenderaan daripada jumlah pinjaman kepada sektor isi rumah berpurata kira-kira 20%, iaitu yang kedua tertinggi selepas pembiayaan untuk harta kediaman. Meskipun jumlah permohonan pembiayaan kenderaan yang diterima adalah lebih rendah sedikit antara bulan Disember 2011 hingga Januari 2012 disebabkkan sebahagiannya oleh bulan bekerja yang lebih pendek, kadar kelulusan bagi pembiayaan kenderaan kekal stabil kira-kira 54% untuk bulan Januari 2012.

Sumber:BNM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...