Jumaat, 30 Mac 2012

Makan Jering Berlebihan Rosakkan Buah Pinggang


Semasa saya masih kecil, ibu saya selalu berpesan adar kulit jering jangan dilangkah. Katanya kalau dilangkah kelak akan terkena penyakit 'kapit jering'. Ini adalah salah satu contoh pantang larang orang dulu-dulu berkaitan dengan jering. Sebab musabab pantang larang ini diwujudkan saya tidak pasti.

Apakah sebenarnya kapit jering?



Kandungan 'djengkolic acid' dalam jering, sejenis buah yang dijadikan ulam, boleh merosakkan buah pinggang jika dimakan secara berlebihan, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher.

Ramai di kalangan masyarakat di negara ini gemarkan jering yang dianggap pembuka selera ketika menikmati juadah nasi tanpa menyedari bahaya buah berkenaan.



"Antara risiko yang biasa dialami penggemar jering ini ialah penyakit 'kapit jering' yang merupakan istilah tempatan, iaitu buah pinggang individu yang terkena 'kapit jering' akan berhenti berfungsi sehingga seminggu," katanya.

Beliau berkata penyakit itu biasanya menyerang individu yang gemar memakan jering mentah atau separa masak.

Dr Zaki berkata sehubungan itu, penggemar jering dinasihat tidak memakannya secara mentah, sebaliknya merebus buah tersebut sehingga masak bagi mengurangkan kandungan asid berkenaan.

Katanya, walaupun asid dalam jering boleh menyebabkan buah pinggang rosak sementara, namun ada juga kes yang menyaksikan buah pinggang gagal berfungsi sehingga terpaksa menerima rawatan dialisis.

Ketua Unit Nefrologi Jabatan Perubatan, Hospital Raja Perempuan Zainab II Dr Sukeri Muhamad berkata individu yang menghidap penyakit buah pinggang kronik, tidak digalakkan memakan jering bagi mengelak mengalami risiko lebih teruk.

Beliau mengingatkan individu pemakan jering yang mendapati air kencingnya berdarah secara tiba-tiba, atau tidak kencing langsung dan sakit perut berpanjangan, agar segera memaklumkan perkara itu kepada hospital bagi mendapat rawatan segera.

Sumber: BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...