Dr Mohd Fuad Zarkashi
KUALA TERENGGANU – Mulai tahun ini, sistem peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan diubah kepada sistem baru iaitu modular, bagi menggantikan sistem terminal yang diguna pakai sebelum ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Fuad Zarkashi berkata, dalam sistem yang baru diperkenalkan bagi sesi 2011-2013 itu, pelajar tidak perlu lagi mengambil peperiksaan itu pada akhir tahun, tetapi akan ambil peperiksaan pada setiap penggal.

“Mulai Jun tahun ini, STPM akan menggunakan sistem modular bagi menggantikan sistem terminal, di mana pelajar akan mengambil peperiksaan di setiap tiga penggal persekolahan dan keputusan itu digabungkan dalam ketiga-tiga penggal berkenaan.

“Malah, dalam sistem baru ini juga pelajar turut diberi peluang untuk mengulang mata pelajaran yang tidak memuaskan, namun syarat itu hanya membenarkan pelajar me­ngu­lang dalam penggal terakhir sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian sebaik selesai merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-26 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, di sini, semalam.

Justeru Mohd Fuad berharap, dengan adanya sistem baru yang diperkenalkan itu bakal menarik lebih ramai pelajar untuk memasuki tingkatan enam, di mana sebelum ini kebanyakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih memilih untuk memasuki kolej matrikulasi dan kolej swasta.

“Cabaran yang kita hadapi hari ini adalah kebanyakan pelajar lebih suka masuk ke kolej swasta di mana banyak punca seperti tawaran pinjaman pelajar, pemberian komputer riba percuma sebaik mendaftar serta ingin cepat mendapat diploma, seterusnya cepat boleh bekerja.

“Namun, kita harap dengan adanya sistem modular yang diperkenalkan ini mampu menarik lebih ramai pelajar memasuki tingkatan enam kerana sistem yang digunakan adalah sama seperti di universiti,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sukatan pembelajaran dan kurikulum tetap sama dan yang berubah adalah sistem peperiksaan sahaja.

sinarH