Rabu, 14 Mac 2012

SOALAN LAZIM (FAQ) BERKAITAN DASAR 1 MURID 1 SUKAN (1M1S)



Apa Itu Dasar 1Murid 1Sukan?
  1. Dasar 1Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah.
  2. Setiap murid dikehendaki melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun.

Kenapa Dasar 1M 1S Ini Diwujudkan?
  1. Dasar 1M 1S  diwujudkan untuk memberi akses kepada semua murid untuk mendapatkan faedah dari penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif;
  2. Membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah; dan
  3. Memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.

Apakah Objektif Dasar 1M 1S Ini?

 i.        Meningkatkan kecergasan jasmani;
 ii.        Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin atau nilai murni;
iii.        Memupuk perpaduan di antara kaum;
 iv.        Membentuk budaya sukan di kalangan murid;
 v.        Memenuhi naluri semulajadi murid dalam aktiviti fizikal;
 vi.        Memberi keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal; dan
 vii.        Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan.


  
Apakah Perkara-perkara Yang Perlu Diambil Kira Sebelum Melaksanakan Dasar
1M 1S Ini?

Sebelum pelaksanaan Dasar 1M 1S ini, ia hendaklah mengambil kira prinsip-prinsip berikut:

 i.        Setiap murid termasuk murid bekerpeluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan;

 ii.        Murid boleh menyertai lebih dari 1 sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan serta persetujuan pihak sekolah;

 iii.        Sukan yang ditawarkan di bawah 1M 1S hendaklah berunsurkan aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal.

 iv.        Aktiviti sukan di sekolah diadakan sepanjang tahun berdasarkan kepada aktiviti rumah sukan dan kelab sukan. Kejohanan olahraga sekolah yang didahului oleh kejohanan merentas desa dan sukan tara menjadi aktiviti teras sukan di sekolah.

 v.      Asas kepada Dasar 1M 1S adalah pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) yang berkualiti di sekolah.  Segala sumber mata pelajaran PJK hendaklah diguna sama bagi pelaksanaan dasar ini;

vi.        Aspek yang diutamakan adalah penyertaan aktif oleh semua murid dalam aktiviti sukan;

vii.        Ibu bapa dan agensi luar/ rakan sukan adalah digalakkan untuk menyumbang kepada pembangunan sukan sekolah; dan

 viii.        Setiap sekolah yang sudah mempunyai prasarana, kemudahan dan peralatan sukan hendaklah mengoptimumkan penggunaannya bagi meningkatkan lagi penyertaan aktif setiap murid.

Siapakah Yang Harus Terlibat Di Dalam Pelaksanaan Dasar 1M 1S Ini?

i.        Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di Sekolah Rendah dan Tingkatan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di Sekolah Menengah. Manakala murid Prasekolah hingga Tahun 3, digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah.

 ii.        Pihak sekolah hendaklah mengadakan pertandingan antara tingkatan, kelas, rumah sukan, dorm asrama dan  kelab sukan sekolah.  Penyertaan murid dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD)/Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN)/Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) serta peringkat antarabangsa adalah merupakan aktiviti 1M 1S

Sumber:FBKPM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...