MUAR - Umat Islam di negeri ini diingatkan supaya jangan mudah terpengaruh dengan ajaran sesat yang mendakwa pengikut ajaran itu tidak perlu menunaikan solat lima waktu.
Kadi Daerah Ledang Sulaiman Maidin mendedahkan ajaran sesat yang dikenali sebagai 'Ahmad 100' sedang bergerak aktif di Selangor dan kini sedang merebak ke negeri Melaka.
"Oleh kerana kedudukan daerah Ledang berhampiran dengan Melaka, kita harus berhati-hati supaya tidak mudah terpengaruh dengan ajaran ini. Setakat ini, ia belum menular ke daerah ini," katanya ketika memberi ceramah di Masjid Jamek Sultan Ismail, Tanjung Agas, Ledang hari ini.
Majlis anjuran bersama pekerja-pekerja Islam kilang ST Microelectronic Sdn Bhd dan Micron kawasan Perindustrian Tanjung Agas dan Pejabat Kadi Daerah Ledang di sini itu dihadiri kira 2,000 orang.
Menurut Sulaiman, pengikut ajaran itu tidak perlu menunaikan solat tetapi memadai dengan niat untuk melayakkan mereka masuk syurga di samping turut meminta lelaki yang ingin menyertai ajaran itu menyerahkan isterinya tidur semalaman dengan pengasas ajaran itu sebelum diterima sebagai pengikutnya.
"Jika didapati isterinya itu dapat memuaskan nafsu lelaki tersebut, barulah lelaki berkenaan diterima sebagai pengikutnya dan pengikut terbabit tidak perlu menunaikan solat lima waktu, memadai niat sahaja sudah mencukupi," katanya.
Beliau berkata ajaran itu berkembang kerana sikap sesetengah umat Islam sendiri yang tidak mahu mendalami agama Islam, termasuk membaca Al-Quran walaupun jabatan agama menyediakan guru di masjid-masjid. - Bernama.
Sumber:sinar