puad-zarkashi
$entry.content.caption.value
KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran belum bercadang mewujudkan jabatan veteran guru bagi menjaga kebajikan warga pendidik yang telah bersara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata ini kerana kebanyakan guru terbabit bersara wajib, justeru tidak sukar mendapat pekerjaan lain selepas itu.

"Ramai antara mereka menjadi guru kontrak, guru tuisyen, guru motivasi dan berkhidmat di institusi pengajian tinggi swasta. Kepakaran dan pengalaman guru-guru memang relevan, berharga dan diperlukan (walaupun selepas bersara).

"Bagaimanapun, kewujudan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) boleh bertindak sebagai badan yang boleh menjaga kebajikan dan sosioekonomi warga pendidik termasuk pesara guru," katanya menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) di sini.

Mohd Puad berkata YGMB di bawah pentadbiran baru yang diketuai Tan Sri Alimuddin Mohd Dom sedang giat melakukan penambahbaikan dan yayasan itu boleh menjadi alternatif kepada Jabatan Veteran Guru yang dicadangkan.

Selain itu, Mohd Puad berkata kerajaan mensasarkan untuk menambah 100,000 anggota baru yayasan berkenaan tahun ini, agar lebih ramai guru mendapat manfaatnya.

Pada masa ini, YGMB yang menawarkan kira-kira 16 faedah termasuk daripada segi perkahwinan dan kematian hanya mempunyai 80,000 anggota. - Bernama
Sumber: sinar