KUANTAN – Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menambah jumlah pegawai agama di beberapa tempat dikenal pasti menjadi lokasi kegiatan mubaligh Kristian dari luar negara untuk menyebarkan agama itu.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata, tindakan tersebut turut dilakukan berikutan usaha mubaligh terbabit mengumpan Orang Asli dengan benih sawit dan getah.

Menurutnya, usaha itu sentiasa berlaku, tetapi Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) berjaya mengawalnya dengan melakukan pelbagai aktiviti agama.

“Kita mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengelak masalah tersebut,” katanya kepada media selepas menghadiri Seminar Keusahawanan dan Pembangunan Halal Negeri Pahang 2012, di sini, semalam.

Beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO) turut membantu mengelak penyebaran Kristian dalam kalangan Orang Asli.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita dapat kawal dan kenal pasti masalah ini termasuk dengan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mengenai mubaligh Kristian mengumpan Orang Asli yang sudah memeluk Islam di beberapa lokasi dengan menawarkan aspek kebendaan termasuk benih sawit dan getah.

Mohamad Sahfri berkata, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku ketua agama juga memberi perhatian berhubung masalah berkenaan.

Katanya, baginda dijangka mencemar duli bertemu Orang Asli di Cameron Highlands untuk bersemuka dan bertanya khabar hari ini.