Cukuplah Sekali-JJ

Rabu, 23 Januari 2013

Imam Muda Hizbur tampil album solo


NINA FARZUIN MD SHAROM, FOTO : ROSLI TALIB
22 Januari 2013
Hizbur Rahman Omar Zuhdi
Imam Muda Hizbur Rahman Omar Zuhdi
NAMA Imam Muda Hizbur Rahman Omar Zuhdi bukan lagi nama asing dalam persada dakwah tempatan. Malah, sejak diumumkan sebagai naib juara program realiti islamik popular, Imam Muda musim pertama, dia sering menerima jemputan untuk memenuhi undangan ceramah, motivasi dan sebagainya.

Tidak terhad memberi ceramah, Hizbur Rahman bersama Imam Muda yang lain pernah tampil dengan album Cahaya Atas Cahaya, tahun lalu, dan kini mempertaruhkan album solo berjudul Surah-Surah Pilihan Ha Mim hasil kolaborasi bersama UNIC Records.

Menerusi album tersebut, Hizbur Rahman mengalunkan bacaan surah-surah Ha Mim yang terdiri daripada lima surah iaitu Al-Fussilat, Asy-Syura, Az-Zukhruf, Ad-Dukhan dan Al-Jathiyah serta turut diselitkan bacaan Al-Fatihah.

Menurutnya, dia memilih surah Ha Mim untuk dimuatkan dalam album itu kerana ianya belum pernah dilakukan mana-mana penyanyi nasyid yang lain.

“Selain daripada menampilkan kelainan, setiap surah yang ada dalam album ini juga dibacakan dengan lagu yang berlainan supaya orang tidak jemu mendengarnya.

“Semua surah yang ada memiliki kelebihannya sendiri, di mana ia menceritakan tentang sihir, syurga, neraka dan sebagainya.

“Alhamdulillah semua yang dirancang berjalan dengan baik. Proses pembikinan album ini dijalankan pada hujung Oktober dan ia siap sepenuhnya dalam masa sebulan lebih,” ujarnya kepada Zass.

Hizbur Rahman turut berharap album keduanya ini mendapat tempat di hati masyarakat seterusnya beri kesan dan ketenangan kepada pendengar. Di samping itu, katanya, album ini juga sangat sesuai untuk dimiliki oleh semua lapisan masyarakat, selain mudah untuk di bawa ke mana–mana.

Anjur program celik tajwid

Menyentuh mengenai perkembangan semasanya, Hizbur Rahman memberitahu, selain sibuk memenuhi undangan ceramah mahupun motivasi, dia bakal menganjurkan satu program yang dikendalikan di bawah syarikatnya, IM Hizbur Management & Consultant.

Menurutnya, program yang diberi nama Roda Putar 30 Detik ini dianjurkan untuk mendidik masyarakat mengenali tajwid.

“Fokus kami adalah untuk golongan veteran yang boleh membaca kitab suci al-Quran untuk mengenali tajwid dengan lebih baik.

“Buat masa ini, program tersebut masih lagi dalam proses perbincangan dan mungkin akan dijalankan dalam masa yang terdekat,” jelasnya.
sumber:sinar

Cekal seorang guru Temerloh


M FEISAL NORAWI
21 Januari 2013
Cekal seorang guru
Mohd Jasmin (tengah) berbual bersama Saifuddin sambil diperhatikan Normah ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Teluk Ira, kelmarin
TEMERLOH – Hanya semangat kental sebagai pendidik banyak membantu seorang guru berulang-alik ke sekolah sejauh 11 kilometer setiap hari walaupun disahkan menghidap penyakit saraf atau lebih dikenali sebagai ‘Prolapse Intervertebral Disc’ (PID).

Mohd Jasmin Jamaluddin, 40, sepatutnya masih dalam tempoh cuti sakit seperti dinasihati pakar, tetapi semangat kuat menyebabkan dia melupakan sementara deritanya untuk terus mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Ira, di sini.

Menceritakan detik awal perubahan hidupnya bermula 1 Julai 2012 apabila tiba-tiba diserang kesakitan amat sangat di bahagian paha kiri dan belakang badan ketika berada di rumahnya, dekat Taman Temerloh Jaya, di sini.

Menurutnya, tanpa sebarang petanda, dia diserang kesakitan amat sangat sehingga tidak mampu bangun, malah disentuh jiran-jiran yang cuba membantunya.

“Saya dibawa ke Hospital Temerloh dengan ambulans. Sampai di wad kecemasan, saya terpaksa disuntik morfin sebanyak empat kali untuk menahan sakit.

“Selepas disahkan menghidap PID, saya menerima rawatan selama 29 hari dalam wad, selain terpaksa pakai lampin pakai buang sebab terlalu sakit hingga tak sedar terkencing,” katanya semasa menerima lawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di SK Teluk Ira.

Walaupun menderita penyakit tidak pernah diketahui sebelum ini, Mohd Jasmin masih mendapat sokongan isteri, Rosliza Mohamed, 31, dan tiga anaknya yang masih kecil.

Menurutnya, jiwa sebagai pendidik menyebabkan dia mengambil keputusan untuk pergi ke sekolah walaupun tempoh cuti sakitnya masih panjang.

“Saya tukar kereta dengan abang sebab keretanya gear automatik. Jadi senanglah saya memandu untuk berulang-alik ke sekolah walaupun jaraknya 11 kilometer dari rumah.

“Guru besar (Normah Hussein) sangat baik. Beliau tempatkan saya mengajar di makmal dan perpustakaan di tingkat bawah. Setiap kali subjek saya, murid-murid akan turun dari kelas dan belajar di bawah.

“Dulu saya ajar Bahasa Melayu, tetapi guru besar ringankan tugas saya dengan mengajar subjek elektif. Jadi ringanlah sikit beban saya,” katanya.

Walaupun mampu berulang-alik ke sekolah, Mohd Jasmin sedikit terkilan kerana terpaksa menangguhkan pengajian jarak jauh Program Pensiswazahan Guru di Institut Perguruan Lipis.

Menurutnya, hanya tinggal tiga tahun lagi dia akan menamatkan pengajiannya dan disebabkan masalah kesihatan, dia merayu kementerian menukarkan mata pelajaran Muzik diambilnya kepada Bahasa Melayu.

“Permintaan ini berikutan mata pelajaran Muzik memerlukan banyak latihan amali. Dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan sekarang, saya rayu kementerian mempertimbangkan pertukaran subjek ini,” katanya.
sumber:sinar harian

Selasa, 22 Januari 2013

Cari dan Bandingkan Pelaburan Emas Terbaik di Malaysia


Nama Bank dan Produk
Ketulenan Emas
Harga dan Belian Permulaan Minimum
Jurang Jual Beli
Yuran dan Caj
Pohon
UOB Akaun Premier Gold
99.99%
  • Harga anda beli pada (setiap gram): RM165.90 (pada 22/1/13)
  • Harga anda jual pada (setiap gram): RM164.90 (pada 22/1/13)
  • Pembelian Awal Minimum:1,000 gram
RM1.00
  • Yuran Pentadbiran: RM2 setiap bulan jika baki emas anda kurang daripada 1,000 gram pada akhir bulan
  • Yuran penukaran emas fizikal akan dikenakan
UOB Akaun Gold Savings
99.99%
  • Harga anda beli pada (setiap gram): RM166.70 (pada 22/1/13)
  • Harga anda jual pada (setiap gram): RM164.70 (pada 22/1/13)
  • Pembelian Awal Minimum:20 gram
RM2.00
  • Yuran Pentadbiran: RM2 setiap bulan jika baki emas anda kurang daripada 10 gram pada akhir bulan
  • Yuran penukaran emas fizikal akan dikenakan
CIMB Bank Akaun Gold Deposit
99.99%
  • Harga anda beli pada (setiap gram): RM167.80 (pada 22/1/13)
  • Harga anda jual pada (setiap gram): RM162.20 (pada 22/1/13)
  • Pembelian Awal Minimum: 5 gram
RM5.60
  • Caj pengeluaran emas fizikal: RM1 bagi setiap gram emas yang dipesan
  • Yuran jika anda tidak memungut emas anda dalam masa 30 hari: RM1 bagi setiap gram emas
  • Yuran Perkhidmatan Tahunan: RM5 (jikq baki emas anda kurang daripada 5 gram pada akhir tahun)
  • Yuran penggantian buku akaun: RM20
  • Penutupan Akaun Gold Deposit: RM10 (hanya dicaj jika anda menutup akaun anda dalam jangkamasa 6 bulan selepas pembukaan)
Public Bank Akaun Gold Investment
99.99%
  • Harga anda beli pada (setiap gram): RM169.77 (pada 22/1/13)
  • Harga anda jual pada (setiap gram): RM163.11 (pada 22/1/13)
  • Pembelian Awal Minimum:10 gram
RM6.66
  • Caj pengeluaran emas fizikal: RM220-RM250 untuk 50 gram, dan RM240-RM270 untuk 100 gram
  • Yuran Perkhidmatan Tahunan: RM10 (jike baki emas anda kurang daripada 10 gram pada akhir tahun)
  • Yuran penggantian buku akaun: RM10
  • Duti Setem: RM10
Maybank Akaun Gold Investment
99.99%
  • Harga anda beli pada (setiap gram): RM168.81 (pada 22/1/13)
  • Harga anda jual pada (setiap gram): RM161.70 (pada 22/1/13)
  • Pembelian Awal Minimum: 1 gram
RM7.11
  • Duti Setem: RM10
  • Yuran penggantian buku akaun: RM15
Kuwait Finance HouseAkaun-i Gold (Individu)
99.50%
  • Harga anda beli pada (setiap gram): RM169.00 (pada 22/1/13)
  • Harga anda jual pada (setiap gram): RM161.38 (pada 22/1/13)
  • Pembelian Awal Minimum:10 gram
RM7.62
  • Tiada
Kuwait Finance HouseAkaun-i Gold (Kanak-kanak)
99.50%
  • Harga anda beli pada (setiap gram): RM169.00 (pada 22/1/13)
  • Harga anda jual pada (setiap gram): RM161.38 (pada 22/1/13)
  • Pembelian Awal Minimum: 5 gram
RM7.62
  • Tiada
Kuwait Finance HouseAkaun-i Gold Account-i (Bukan-individu)
99.50%
  • Harga anda beli pada (setiap gram): RM169.00 (pada 22/1/13)
  • Harga anda jual pada (setiap gram): RM161.38 (pada 22/1/13)
  • Pembelian Awal Minimum:50 gram
RM7.62
  • Tiada

Kelebihan selawat ke atas Nabi SAW

Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman,22 Jan 2013

Makna perkataan: “Selawat”. Perkataan selawat berasal daripada perkataan solat yang bererti doa atau pujian.

Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat. Selawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala. Dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.

Makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian dan keberkatan daripada-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398].

Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik daripada Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:

“Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”. (Surah al-Ahzab: ayat 43).


Hukum berselawat

Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya. Antaranya:
1.  Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
2.  Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3.  Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
4. Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.

Arahan Membaca Selawat


Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya beribadat. Sebagaimana dalam firman-Nya di atas tadi, Allah sendiri memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan kepada Muslimin mengamalkannya. Hal ini bermakna membaca selawat itu sangat utama.

Kelebihan Selawat

Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]

Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.

Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.

Selawat Paling Afdhal

Membaca selawat untuk Nabi SAW adalah ibadat yang agung dan merupakan salah satu tanda kecintaan kepada Nabi SAW sekaligus menjadi faktor utama untuk mencapai syafaat Nabi SAW di hari Kiamat kelak. Perintah kepada umat Islam untuk membaca selawat untuk Nabi SAW datang setelah Allah Ta’ala memberitahu bahawa Dia berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana firman-Nya:

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan.” (Surah al-Ahzab: ayat 56).


Ayat di atas tidak menjelaskan satu bentuk nas selawat tertentu untuk dibaca apabila seorang Muslim hendak membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Namun demikian, terdapat beberapa riwayat yang menukilkan bahawa beberapa orang sahabat Nabi saw telah bertanya Rasulullah SAW cara atau kaifiyat untuk berselawat ke atas Baginda SAW, maka diajarnya kepada mereka.

Antaranya ialah riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 daripada Ka’ab bin ‘Ujrah RA. Sahabat yang mulia ini menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.

Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah: (*rujuk laman web asal)

Inilah antara kaifiyat berselawat yang diajarkan Nabi SAW kepada para sahabat RA sebagai jawaban kepada pertanyaan mereka mengenai cara berselawat untuk Baginda. Maka adalah logik untuk dikatakan lafaz ini sebagai lafaz paling afdhal dalam berselawat.

Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan:

“Yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada para Sahabat RA tentang kaifiyah (dalam membaca selawat) ini setelah mereka menanyakannya, menjadi petunjuk bahawa itu adalah nas selawat yang paling utama kerana Baginda SAW tidaklah memilih bagi dirinya kecuali yang paling mulia dan paling sempurna.” [Fathul Bari: 11/66].

Menurut Kitab Mestika Hadis 1/259: “Dan yang seafdhal-afdhalnya ialah selawat yang biasa dibaca selepas tasyahud akhir setiap solat. Hal ini kerana para ulama telah menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dengan seafdhal-afdhal selawat, tidak dihukum terlepas daripada wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan dengan membaca selawat itu.”

Maka adalah lebih baik apabila lafaz selawat ini yang diamalkan dalam membaca selawat untuk Nabi SAW, bukan lafaz-lafaz selawat susunan seseorang, meskipun bukan larangan untuk menyusun bentuk teks selawat sendiri. Selawat-selawat selain yang diajarkan oleh Nabi SAW kadang-kadang tidak terlepas daripada kekeliruan, baik dalam pemilihan bahasa, mahupun –dan ini yang paling parah– kesalahan dalam akidah.

Sabtu, 19 Januari 2013

Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2015




Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 
[Dibentangkan Pada 11/09/2012]

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Malaysia Education Blueprint) 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut.

Laporan berkenaan dibentang Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menurut dokumen itu, Kementerian Pelajaran berharap usaha tersebut akan memperjelaskan kepada masyarakat usaha mengubah sistem pendidikan negara dan akan mendapatkan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal berkenaan sebelum pelan dimuktamadkan pada Disember 2012 ini.


3 Gelombang Transformasi

PPP 2013-2025 yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh 13 tahun dan membabitkan tiga fasa (gelombang) dijangka bakal menempatkan sistem pendidikan Malaysia setaraf dengan sistem yang dimiliki negara membangun.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.

Fasa atau gelombang pertama membabitkan penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan, di mana keperluan guru diberikan penekanan serta pelajar akan diberikan tumpuan dalam pembangunan kemahiran asas mereka.

Antara perkara yang boleh dijangka dalam Gelombang Pertama pelaksanaan pelan tersebut mulai 2013 hingga 2015 adalah peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah serta mutu kepimpinan sekolah.

Bagi gelombang kedua, rancangan pelaksanaannya akan dilakukan berasaskan perkembangan dan pencapaian semasa.

Gelombang Kedua mulai tahun 2016 hingga 2020 akan menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerjaya baru. Bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran pula akan distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.

Untuk gelombang ketiga pula, bermula 2020 hingga 2025, kuasa autonomi membabitkan pentadbiran sekolah akan diberikan. Semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum

Kementerian Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Pelan itu juga menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam ciri kualiti utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Ahad, 13 Januari 2013

Awas tiroid antara sebab keguguran


MIRIEATIE
29 Disember 2012
Awas tiroid antara sebab keguguran
Foto hiasan
Aida, 32, mempunyai masalah tiroid sejak sebelum hamil lagi. Namun, masalah ini dapat dikawal dengan pengambilan pelbagai jenis ubat termasuk cara perubatan tradisional.

Walau bagaimanapun, apabila hamil anak sulung, masalah tiroid kembali dialami. Masalah tiroidnya semakin meruncing semasa trimester pertama lagi. Selain kuat makan, Aida juga kerap menggeletar badan dan cepat berpeluh.

Menurut Pakar Obstetrik & Ginekologi Hospital Pakar KPJ Selangor, Doktor Haji Mohd Nazri, tiroid adalah sejenis penyakit yang memberi kesan kepada kelenjar tiroid. Ia merupakan kelenjar endoktrin yang mengeluarkan hormon tiroksin (T4) dan hormon triodotiromin (T3).

Biasanya ia terletak di pangkal leher atau di bahagian depan saluran pernafasan atau trakea dan juga saluran makan. Hormon tiroid berfungsi untuk mengawal kadar metabolisma badan.

Di kalangan wanita terutama yang berusia 20 tahun ke atas, terdapat dua jenis tiroid yang biasa dialami iaitu hipertiroid (lebih kerap berlaku) dan hipotiroid.

“Di kalangan wanita hamil, tiroid biasanya berlaku seawal trimester pertama. Walau bagaimanapun, wanita yang mempunyai masalah tiroid ini tidak perlu terlalu bimbang keran mereka masih boleh menjaga dan melindungi kesihatan janin dengan belajar dan mengetahui kesannya terhadap kehamilan dengan mengekalkan ujian fungsi tiroid terhadap kehamilan itu sendiri serta mengambil ubat-ubatan yang diperlukan serta mengikut nasihat pakar berkaitan penggunaan ubat-ubatan ini agar tidak menjejaskan kandungan,” jelas Dr Nazri.

Jumaat, 4 Januari 2013

DIVIDEN ASB 2012


ASB UMUM AGIHAN PENDAPATAN LEBIH KOMPETITIF
21 Disember 2012
KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.75 sen seunit dan bonus 1.15 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012.
Agihan pendapatan ini meningkat sebanyak 0.10 sen seunit berbanding yang dibayar tahun lalu (2011 : 7.65 sen seunit).
Malah, kadar ini adalah yang tertinggi bagi tempoh lima tahun, sepanjang 2008 sehingga 2012 (2008 : 7.00 sen seunit; 2009 : 7.30 sen seunit dan 2010 : 7.50 sen seunit).
Peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM8.13 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 17.5% berbanding dengan RM6.92 bilion yang dibayar pada tahun 2011.
Peruntukan bagi pembayaran bonus pula membabitkan jumlah sebanyak RM712.21 juta oleh PNB (2011 : RM600.4 juta).
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 7.82 juta pemegang unit yang melanggan 110.2 bilion unit ASB.
Sehingga 19 Disember 2012, ASB telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM8.54 bilion. Pendapatan dividen yang diterima daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM4.80 bilion atau 56.21% daripada keseluruhan pendapatan kasar, manakala pendapatan daripada keuntungan jualan saham menyumbang sebanyak RM2.68 bilion atau 31.38% dan selebihnya, iaitu RM1.06 bilion atau 12.41% adalah daripada lain-lain pendapatan.
Pengiraan pengagihan pendapatan ini adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASB yang berakhir pada 31 Disember 2012. Pengiraan bonus pula dibuat berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan yang dimiliki pelabur dalam tempoh 10 tahun bermula dari 2003 sehingga 2012.
Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus bagi tabung ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun para pemegang unit. Para pemegang unit boleh mengemaskinikan buku pelaburan ASB masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari 2013.
Semua urus niaga bagi ASB di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan pada 18 Disember 2012 sehingga 1 Januari 2013 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus.
ASB adalah sebuah tabung ekuiti pendapatan berharga tetap yang disasarkan kepada Bumiputera berumur 6 bulan ke atas. Sasaran tabung ASB ialah menjana pulangan jangka panjang yang konsisten dan kompetitif kepada pemegang unit dan pada masa yang sama, memastikan pengekalan modal pada tahap risiko yang munasabah.

Khasiat Buah Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan

(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)   18 Khasiat Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan | Bidara (Nama...