Piket bantah mesin judi
Sebilangan daripada 50 penduduk yang mengadakan demonstrasi aman di Jalan Bahagia membantah kewujudan mesin judi internet.
TEMERLOH – Selepas penduduk di sekitar Mentakab mengadakan bantahan dengan kewujudan mesin judi internet yang berleluasa, kini giliran penduduk di Taman Bahagia, di sini mengadakan bantahan aman petang semalam.

Bantahan anjuran Surau Taman Bunga Raya, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bahagia dan Gerakan Belia 4B Temerloh diadakan berhampiran tiga premis yang beroperasi sekitar perumahan tersebut sejak lebih sebulan lalu.

Wakil 4B Temerloh, Fenddy Ariffin Zulkefly berkata, bantahan itu dilakukan bagi membuka mata pihak berkaitan supaya memindahkan premis tersebut ke kawasan lain memandangkan ia terletak dalam kawasan perumahan.

“Kami mahu tindakan tegas diambil terhadap mereka yang degil membuka premis judi internet di kawasan perumahan ini yang akan mengundang pelbagai masalah sosial.

“Jika terus beroperasi, penduduk dibebani pelbagai masalah sosial. Kadar jenayah juga meningkat seperti ragut, curi harta awam dan penduduk,” katanya.

Perhimpunan selama sejam itu disertai kira-kira 50 penduduk sekitar daerah Temerloh dengan membawa pelbagai sepanduk antaranya ‘judi pemusnah akhlak generasi muda', 'judi adalah haram dan siapa terlibat adalah pengkhianat'.

Kumpulan itu menarik perhatian pengguna jalan raya dan penduduk perumahan tersebut yang didiami pelbagai lapisan kaum.

Fenddy Arifin berkata, beliau difahamkan terdapat tiga premis judi internet beroperasi di kawasan terbabit dan dijangka dua lagi beroperasi dalam masa terdekat.

“Kami gesa pihak berkaitan ambil tindakan segera banteras kegiatan ini selain mengharapkan pemilik premis tidak menyewakan kedai mereka kepada pemilik pusat judi,” katanya.
sumber:sinar harian