• Hala tuju UnitarLogo baru Unitar.
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar), menyasar mengembangkan operasinya di negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang dan Terengganu.
  
Universiti tersebut mencatatkan satu peristiwa penting hari ini susulan perpindahannya ke kampus baru bernilai RM20 juta di Kelana Jaya, Petaling Jaya, dari Sunway.
  
Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi berkata sehingga sekarang, Unitar memiliki sembilan pusat wilayah di seluruh negara, tetapi tidak ada satu pun di pantai timur.
  
"Pada awal tahun depan, kami akan membuka dua di Pahang dan sebuah lagi di Terengganu.
  
"Kami merasakan kedua-dua negeri ini mempunyai potensi. Tumpuan di Pahang ialah di kawasan Felda Jengka di sana," katanya kepada Bernama semalam selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pearson Malaysia Sdn Bhd.
  
Wan Ahmad berkata Unitar mencari rakan kongsi untuk membuka pusat di Jengka kerana ia kemungkinan tanah rancangan Felda terbesar di Malaysia, untuk memanfaatkan sejumlah besar golongan belia di sana.
  
Beliau berkata semua dokumen bagi membuka pusat wilayah di Pahang dan Terengganu telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk kelulusan.
  
Sementara itu, MoU Unitar dengan Pearson Malaysia, penyedia program pembelajaran elektronik, disasarkan untuk menukarkan landskap pengajian tinggi di Malaysia.
  
Di bawah kerjasama itu, Pearson Malaysia akan menyediakan bahan pengajaran seperti e-buku dan mylabs, untuk digunakan dalam persekitaran pembelajaran maya universiti itu.
  
E-buku ialah format yang boleh dimuat turun kepada tablet pelajar, dan diberikan kepada mereka apabila mendaftar di universiti itu.
  
Mylabs ialah persekitaran pembelajaran yang menumpukan kepada pembelajaran peribadi.   

"Kami mahu menggabungkan kedua-dua konsep bagi pengalaman pembelajaran yang lebih baik, di samping membolehkan pelajar dan ahli akademik menggunakan sepenuhnya peralatan digital," kata Wan Ahmad.
  
Beliau juga berkata terdapat rancangan untuk bekerjasama dengan universiti luar negara bagi menawarkan program ijazah bersama di masa depan. - Bernama


sumber: sinar