Rabu, 21 Oktober 2015

5 mitos tentang kencing manis – Dr. Nur Hidayati


Source: http://guardianlv.com/
Source: http://guardianlv.com/
Pada 2011, Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) melaporkan kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia disahkan menghidap kencing manis. Walaupun ramai rakyat kita yang menghidap kencing manis, masih ramai yang tidak memahami penyakit ini secara mendalam.
Mitos 1 : Kencing manis adalah akibat makan banyak makanan yang manis
Fakta ini ada benar dan ada yang salah. Tidak semua pesakit kencing manis mendapat penyakit ini kerana makan makanan manis dengan banyaknya. Anda mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap kencing manis jika ada di kalangan keluarga anda menghidap kencing manis (seperti ibu bapa dan adik beradik). Jika anda mempunyai berat badan berlebihan – anda juga mempunyai risiko tinggi untuk mendapat kencing manis. Diet yang terdiri daripada makanan berkalori tinggi dan berlemak (sama ada manis atau tidak) boleh mengakibatkan obesiti. Oleh itu, jika anda mahu mengurangkan risiko anda untuk menjadi obes – pemakanan yang berkalori tinggi hendaklah dielakkan.
Sekiranya masih mahu makan makanan manis, ambillah dalam kuantiti yang terhad dan pada masa yang sama mengamalkan senaman yang bersesuaian.
Mitos 2: Pesakit kencing manis lebih senang menghidap jangkitan kuman
Jika anda menghidap kencing manis dan tidak mengawalnya dengan baik, anda lebih mudah mendapat penyakit berjangkit berbanding orang yang sihat. Malah, jika pesakit kencing manis dijangkiti oleh kuman, risiko kematian mereka lebih tinggi berbanding mereka yang sihat. Maka, pesakit kencing manis perlu menjaga kebersihan diri terutamanya bahagian gigi dan kaki, memeriksa bahagian tubuh untuk ulser dan menjaga kebersihan bahagian ulser untuk mengelakkan jangkitan bakteria pada bahagian yang luka.
Source: http://www.sciencedaily.com/
Source: http://www.sciencedaily.com/
Mitos 3: Saya gagal untuk mengawal kencing manis menyebabkan doktor saya menghukum saya untuk mengambil insulin/ubatan
Kencing manis jenis 2 (diabetes mellitus type 2) adalah akibat tisu tubuh kita menjadi kebal terhadap kesan insulin yang dihasilkan dalam badan. Maka, walaupun gula dalam darah adalah tinggi, tisu tubuh tidak mampu menggunakan gula dalam darah dengan berkesan. Ini menyebabkan kandungan gula dalam darah menjadi tinggi.
Pada peringkat awal penyakit kencing manis khususnya jenis 2, boleh diatasi dengan mengawal kalori dalam pemakanan kita dan bersenam untuk mencapai berat badan yang ideal.  Namun, untuk kebanyakan pesakit kencing manis jenis 2, penyakit ini boleh menjadi lebih teruk di mana kawalan pemakanan yang baik dan senaman harian sahaja tidak memadai untuk mengawal paras gula dalam badan ke tahap yang sempurna atau selamat.
Pada peringkat ini – doktor akan menyarankan ubat kencing manis termasuklah insulin untuk mengawal kandungan gula dalam badan. Jika anda tidak mahu mengambil ubat-ubatan ini dan paras gula anda kekal di paras tinggi, anda boleh mendapat akibat buruk atau komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, strok, serangan sakit jantung atau buta akibat katarak atau masalah retinopati diabetik.
Mitos 4: Kencing manis bukan masalah kesihatan serius
Tahukah anda penyebab majoriti kegagalan buah pinggang sehingga bergantung pada mesin dialisis di Malaysia adalah kencing manis?
Tahukah anda jika anda menghidap kencing manis – anda berisiko tinggi menghadapi  maut dari angin ahmar atau serangan penyakit jantung?
Tahukah anda bahawa kencing manis adalah penyebab paling tinggi buta dan hilang upaya akibat amputasi dalam golongan dewasa Malaysia?
Tahukah anda penghidap penyakit kencing manis berpotensi mendapat keadaan yang dinamakan ‘diabetic ketoacidois’ atau ‘hyperglycemic hyperosmolar syndrome’ yang boleh mengakibatkan maut?
Adakah kematian dan kehilangan upaya masalah yang bukan serius?
Jika anda bersetuju bahawa kencing manis adalah masalah kesihatan serius, jangan ambil mudah jika paras gula anda di tahap berlebihan dan bahaya. Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit kencing manis kerana pada peringkat awal, mereka tidak mengalami sebarang simptom penyakit ini. Oleh itu, anda disarankan memeriksa paras gula anda walaupun anda tidak mengalami apa-apa simptom.
Mitos 5: Golongan tua sahaja mendapat kencing manis
Terdapat kanak-kanak seawal tujuh tahun telah didapati menghidap kencing manis. Dahulu, kanak-kanak yang menghidap penyakit kencing manis selalunya terdiri daripada kencing manis jenis 1 (diabetes mellitus type1) yang lebih disebabkan oleh faktor genetik dan autoimun. Namun, makin ramai kanak-kanak di Malaysia menghidap penyakit kencing manis jenis 2. Kebanyakan mereka mempunyai berat badan berlebihan dan mengamalkan pemakanan yang tidak sihat. Justeru itu, ibu bapa disarankan mengawal pemakanan anak-anak dari kecil lagi. Ibu bapa juga harus mencegah tabiat makan makanan segera atau snek yang tidak berkhasiat.

14 November adalah Hari Diabetes Sedunia. Manfaatkanlah hari ini untuk menukar cara hidup anda ke arah yang lebih sihat untuk bebas dari penyakit kencing manis.Kanak-kanak juga hendaklah digalakkan bersenam dari peringkat kecil supaya ia menjadi tabiat yang sihat dan diamalkan secara berterusan apabila mereka meningkat dewasa. Bawalah mereka menyertai kegiatan luar seperti bersukan dan aktiviti lasak yang sesuai dengan peringkat umur mereka. Galakkan mereka menceburi aktiviti yang aktif. Dengan cara ini, kita dapat mengelakkan gejala obesiti di kalangan kanak-kanak Malaysia dan seterusnya membendung peningkatan kes kencing manis di kalangan mereka.
Pautan berguna:
Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Nur Hidayati, seorang doktor perubatan dalaman yang bertugas di sebuah hospital di Selangor. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan
  • National Health and Morbidity Survey 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...