Allah SWT berfirman: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Isra’ ayat 1).
Demi menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai iktibar dalam melalui kehidupan dunia dan akhirat sebagaimana didambakan oleh setiap Muslimin maka program ceramah Israk Mikraj yang diadakan di sana sini tidaklah sekadar dijadikan halwa te­linga dan mengisi masa lapang sahaja. Banyak iktibar dan pengajaran boleh diteliti daripada peris­tiwa agung ini.
Israk Mikraj bukanlah sekadar cerita biasa yang diulang tayang setiap kali menjelang tanggal 27 Rejab. Lebih daripada itu ia mengajak Muslimin untuk memperkukuhkan pegangan berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan memelihara daripada sebarang bentuk penyelewengan akidah yang membinasakan.
Perjalanan Baginda Nabi Muhammad SAW dari masjid ke masjid menunjukkan betapa masjid memainkan peranan penting bagi melestarikan kehidupan harmoni dunia dan akhirat.
Kewujudan masjid bukanlah sekadar syiar keagamaan. Menjadi tanggungjawab Muslimin untuk mengimarahkan masjid dan memelihara kesuciannya sepanjang masa. Masjid juga bukan sekadar tempat untuk solat Jumaat, tempat mengadakan majlis akad nikah, tempat sembahyang jenazah sahaja.
Fungsinya luas sehingga pada zaman Nabi SAW menjadi tempat menyambut delegasi luar negara dan menyelesaikan masalah umat. Kaum Muslimin juga diingatkan supaya tidak sombong atau tidak mempedulikan panggilan Allah SWT untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid.
Kerana itulah saranan untuk menggapai kejayaan duniawi dan ukhrawi. Kesibukan tugasan seharian juga bukanlah penghalang untuk melaksanakan solat di masjid. Malah boleh jadi dengan cara itu segala urusan seharian dipermudahkan di samping beroleh nikmat keberkatan masa, rezeki dan umur yang diharap-harapkan oleh para Mukminin.
Dalam perjalanan Mikraj ba­ginda Nabi SAW ditunjukkan de­ngan gambaran manusia yang menanam dan menuai hasil tanaman mereka pada hari yang sama, tanpa henti.
Ketika ditanya kepada Malaikat Jibril yang menemaninya, dikatakan itu ialah balasan orang yang berjihad di jalan Allah SWT dengan dilipat gandakan amalan mereka sehingga 700 kali ganda di sisi Allah SWT.
Justeru setiap Muslimin perlu berjihad dalam melaksanakan pelbagai ketaatan tanpa rasa jemu. Namun, realitinya ia bukan mudah untuk dilaksanakan. Pas­tinya terdapat pelbagai halangan dan ujian dalam mendekatkan diri kepada Ilahi sehingga memerlukan pengorbanan tenaga, masa dan wang ringgit.
Malah dalam keadaan tertentu seseorang kemungkinan terpaksa mengorbankan keseronokan dunia yang sementara demi berharap ganjaran di hari kemudian. Yakin dan percayalah segala amalan ibadah dan kebajikan pasti dibalas dengan ganjaran yang se­timpal oleh-Nya.
Pelbagai gambaran dosa dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW sepanjang perjalanan Mikraj seharusnya dijadikan iktibar oleh kaum Muslimin untuk berhenti daripada terus bergelumang dosa.
Tidak ada gunanya berbangga-bangga dan menunjukkan kepada dunia akan pelbagai dosa yang sengaja dilakukan kerana kelak akan diseksa dengan azab yang tidak tertanggung.
Golongan yang suka memuat naik pelbagai peri laku maksiat ke media sosial sebagai contoh­nya dinasihatkan supaya berfikir seribu kali sebelum berbuat demikian kerana akan dipertanggungjawabkan dengan dosa seluruh dunia yang menontonnya. Ini termasuklah memaparkan gambar tidak menutup aurat, menyebarkan fitnah dan berita palsu.
Golongan ini diingatkan de­ngan gambaran manusia yang memotong lidahnya berulang kali sebagai balasan memfitnah, mengumpat dan mengeji sesama manusia.
Solat lima waktu yang difardukan pada malam tersebut secara langsung oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW menunjukkan kepentingan solat dalam mempertautkan hubu­ngan makhluk dengan khalik (Pencipta).
Maka ibadah solat tidak patut dikesampingkan dalam kehidupan Muslim. Ia hendaklah dilakukan dengan khusyuk, tawaduk sambil berharap keampunan dan keredaan-Nya. Seseorang yang menjaga solat pasti akan dipermudah segala urusan sebaliknya sesiapa yang mengabaikan solat kemungkinan berhadapan dengan pelbagai musibah dalam mengharungi liku-liku kehidupan.
Perjalanan Israk Mikraj menun­­jukkan betapa Allah SWT Maha Berkuasa untuk menjadikan segala sesuatu termasuk yang tidak dapat digambarkan oleh logik pemikiran manusia. Untuk itu setiap insan wajib meletakkan pergantungan hanya kepada-Nya.
Usah mendabik dada dan berbangga dengan segala pencapaian­ yang ada kerana tanpa izin dan perkenan daripada -Nya, manusia ti­dak mampu melakukan apa-apa.
Allah SWT juga Maha Berkuasa untuk menguji hambanya dengan ujian kehilangan nyawa, kekurangan rezeki, ketakutan dan ke­sedihan sehingga seseorang yang terpelihara daripada musibah disunatkan pula me­lakukan sujud sebagai tanda bersyukur.
Sehubungan itu peringatan Israk dan Mikraj hendaklah dijadikan iktibar dan pengajaran untuk terus memperkukuh hubungan dengan Allah SWT melalui apa sahaja aktiviti ibadat yang disyariatkan. Apatah lagi menjelang bulan Ramadan al-Mubarak yang akan kunjung tiba tidak berapa lama lagi.
DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.