Cukuplah Sekali-JJ

Khamis, 7 Februari 2019

Khasiat Buah Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan

(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)
Hasil carian imej untuk buah bidara 




Bidara (Nama latin : Ziziphus mauritiana) adalah sejenis tanaman yang tergolong dalam keluarga rhamnaceae. Di banyak daerah, tanaman ini dikenal dengan pelbagai panggilan yang diantaranya
dikenal dengan sebutan bukkol (madura), widara (jawa), bekul (bali), rangga (bima), kalangga (sumba), serta nama diberbagai Negara seperti : jujub/epal siam (Malaysia), zee-pen (Burma), putrea (Kamboja), dan than (Laos). Habitat hidup dari bidara ialah tanah kosong seperti ladang, sawah dan lain-lainnya yang permukaannya kering dan tandus.
Kandungan Nutrisi Buah Bidara
Bidara kaya akan kandungan karbohidrat, lemak, karoten, protein, air, thiamin, riboflavin, kalsium, niacin, fosfor, zat besi, serat, Vitamin C, dan Vitamin A. Dari kandungan ini diperoleh beberapa khasiat yang membantu dan memelihara organ tubuh dan tentunya terkait juga dengan dunia kecantikan seperti mengecilkan perut buncit dan menghaluskan kulit.

18 Khasiat Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan :


  1. Bersifat anti-bakteria yang kukuh untuk membunuh kuman, virus, mikroorganisma dan kulat.

  2. Kaya anti-oksidan yang kukuh untuk menangkal radikal bebas dan menjaga tubuh tetap sihat dan sistem imun lebih kuat.

  3. Mempercepat pengeringan dan penyembuhan luka pada kulit.

  4. Mengatasi masalah perut  dan usus seperti ulser perut, gastrik dan lain-lain.

  5. Mengawal kadar gula dalam darah yang terkait untuk terapi diabetes khususnya kencing manis.

  6. Ubat herba untuk mengatasi panas dalam, sariawan, dan bibir pecah-pecah.

  7. Ubat kumur untuk menghilangkan bau mulut dan gusi berdarah.

  8. Bersifat anti-kanser yang berfungsi untuk mencegah pertumbuhan sel kanser dan tumor dalam tubuh.

  9. Meregenerasi sel-sel organ tubuh yang rosak.

  10. Mengembalikan stamina lelaki yang mujarab untuk pencegahan lemah syahwat.

  11. Mempercepat penuaan bisul.

  12. Melancarkan sistem pencernaan yang terhubung dengan pengubatan buasir (ambeien).

  13. Bersifat anti-keradangan yang berguna untuk mencegah peradangan.

  14. Bersifat anti-piretik yang berkemampuan untuk menurunkan demam atau panas pada anak dan dewasa.

  15. Menjaga kesihatan tulang, gigi dan sendi dari gejala osteoporosis (pengeroposan tulang).

  16. Mengatasi gejala keputihan dan menghilangkan bau tidak sedap pada organ kewanitaan.

  17. Melancarkan haid atau menstruasi yang tidak teratur.

  18. Ubat herba untuk kencing nanah, darah dan kesakitan.


Petua Tradisi Menggunakan Buah Bidara
Sebenarnya sangat mudah daun muda boleh dijadikan sayur ulam dan buahnya boleh dimakan secara terus. Tetapi ada beberapa petua menggunakan buah dan pokok bidara untuk mengubat secara alami. 



  • Luka : Ambil beberapa helai  daun dan cuci lalu dihaluskan. Tampalkan pada luka dan balut dengan kain halus. boleh juga menggunakan akar dengan cara dan tips yang sama.

  • Penyakit sakit perut dan usus : Sediakan 2 ibu jari kulit batang bidara, cuci dan rebus dengan 2 gelas air hingga jadi setengah. Minum 2x sehari secara kerap.

  • Kencing berdarah : Sediakan 1 ibu jari kulit batang, 1 genggam pucuk daun, 1 genggam jintan putih, dan 2 ulas bawang putih. Cuci bersih dan tumbuk kasar. Rebus dengan 2 gelas air hingga mendidih. Tapis dan toskan kemudian minum.


Banyak juga khasiat buah dan pokok bidara ni kan... Tengok buahnya mengiurkan.. ada yang menggelarkan epal Malaysia...

Selasa, 29 Januari 2019

Khasiat Teh Hijau Dan Kebaikan

21 Khasiat Teh Hijau Dan Kebaikan (Terbukti Berkesan )

Rahsia Panjang Umur Rakyat Jepun

 

Satu kajian yang dijalankan ke atas lebih 40 ribu penduduk dewasa di Jepun yang minum teh hijau sekurang-kurangnya 5 cawan sehari menunjukkan jangka hayat mereka adalah lebih panjang.
Ini kerana teh hijau yang berasal dari Negara Cina ini melindungi tubuh mereka daripada serangan penyakit yang boleh membawa maut.

Berikut adalah fakta kesihatan dari teh hijau:

1. Bahan-bahan bioaktif yang terdapat pada daun teh hijau kekal walaupun ia berubah menjadi air minuman anda. Jadi, air yang anda minum mempunyai banyak nutrien penting yang wujud dalam daun teh yang asal.

2. Teh hijau merupakan antioksidan yang amat bagus. Ia diperolehi daripada kandungan polifenol di dalamnya.

3. Nutrien yang terdapat di dalam teh hijau melindungi sel dan molekul dari kerosakan. Jadi, anda dilindungi daripada penyakit dan tanda-tanda penuaan seperti kedutan pada kulit wajah anda juga berkurang atau hilang.

4. Pastikan anda memilih teh hijau yang berkualiti kerana teh hijau yang tidak berkualiti biasanya mengandungi flourida yang berlebihan.
Walaupun begitu, kebaikan yang ada dalam teh hijau berkualiti rendah masih tinggi.

5. Teh hijau mengandungi kafein yang kita tahu bertindak sebagai perangsang. Kandungannya tidaklah sebanyak yang ditemui di dalam kopi tapi cukup untuk memberikan kesan.

6. Kafein memperbaiki beberapa fungsi otak seperti memperbaiki mood, jangka masa tindak balas dan memori.

7. Selain kafein, ia juga mengandungi asid amino L-theanine yang memangkah halangan darah ke otak.

8. Theanine juga menyumbang kepada rasa tenang yang baik bagi mereka yang mengalami tekanan.

9. Kombinasi kafein dan l-theanine membantu dalam memperbaiki fungsi otak.

10.Ramai mengatakan yang meminum teh hijau memberikan tenaga yang stabil dan lebih produktif berbanding apabila mereka meminum kopi.

11.Kajian menunjukkan bahawa teh hijau membakar lemak serta meningkatkan kadar penggunaan tenaga.

12.Peningkatan kadar metabolisme selepas meminum teh hijau adalah bergantung kepada individu.

13.Perkembangan sel yang tidak terkawal adalah punca seseorang diserang penyakit kanser. Kerosakan oksidatif menyumbang kepada perkembangan kanser. Di sinilah teh hijau yang bertindak sebagai aktioksidan menjalankan fungsinya melindungi anda daripada risiko diserang kanser.

14.Antioksidan dalam teh hijau mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 22%, kanser prostat sebanyak 48%, dan kanser kolorektal sebanyak 57%.

15.Mencampurkan susu dalam teh hijau akan mengurangkan nilai antioksidan. Oleh itu, elakkan minum teh hijau bersama susu.

16.Alzhemeir dan Parkinson merupakan penyakit yang berpunca dari otak. Biasanya ia menyerang warga tua. Katekin di dalam teh hijau memberikan perlindungan ke atas neuron, sekaligus merendahkan risiko alzhemeir dan Parkinson.

17.Katekin boleh membunuh bakteria dan virus seperti influenza. Ini mengurangkan risiko jangkitan penyakit.

18. Katekin juga meningkatkan kesihatan gigi di samping mengurangkan masalah bau nafas.

19. Teh hijau mengurangkan risiko diabetes jenis ke 2 sebanyak 42%. Diabetes Jenis ke 2 adalah di mana kandungan gula dalam darah amat tinggi dan menolak insulin atau tidak mampu menghasilkan insulin.
Teh hijau memperbaiki kepekaan insulin dan mengurangkan kadar gula dalam darah.

20.Mereka yang minum teh hijau mempunyai risiko yang rendah untuk menghidap diabetes.

21.Teh hijau mengurangkan risiko menghidap penyakit-penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung dan strok sebanyak 31%.

Ada banyak pendapat mengenai berapa banyak anda perlu minum teh hijau dalam sehari. Ada yang mengatakan sekurang-kurangnya 2 cawan dan ada juga yang mencadangkan sekurang-kurangnya 5 cawan sehari.
Sekiranya anda ada masalah kesihatan atau sedang hamil, cuba dapatkan nasihat dari doktor anda terlebih dahulu.

Cara Minum Teh Hijau Agar Cepat Kurus

*Artikel ini datangnya daripada Tuan Harith Faisal yang menjadi viral. Tentang tips menguruskan badan melalui teh hijau. Sumber adalah melalui Facebook dirinya.
Benda ni antara yang saya amalkan sepanjang saya diet 2 bulan ni. Yup! Hari ni genap 2 bulan saya mula diet. Dah dapat turun 10kg tanpa sebarang supplement. Diet kurang kalori.
Saya makan nasi, makan ayam, makan ikan, makan sayur, makan spegeti. Makan je, tapi saya kurangkan pengambilan dia. Memang tinggal air bergula kecuali masa cheat day.
Saya tak pasti betul ke tak dari segi saintifik. Tapi saya rasa sendiri, bila saya amalkan minum teh hijau ni, perut tak masuk angin, tak sebu dan tak kembung sepanjang diet saya ni.
Okay kejap. Saya Google dulu. Tak sah kalau tak pakai skil menggoogle saya yang hebat sejak azali ni. Haha! Jadi, teh hijau ni katanya kalau kau amalkan dia setiap hari:
1. Dapat berikan tenaga.
2. Dapat tingkatkan pembakaran lemak.
3. Dapat tingkatkan metabolisma.
4. Sekaligus, dapat turunkan berat badan.
Sila cuba kepada yang tengah diet. Yang saya buat ni memang air teh hijau kosong. Tak ada gula, tak ada susu. Mula-mula rasa memang tak sedap. Lama-lama tak sedap jugak. Eh!
Kat mana nak beli? 99 Speedmart.
Saya pakai dua jenama teh hijau jenis uncang. Uncang jelah. Senang nak buat, kan. Sehari saya pakai 2-3 uncang saja. Biasa satu uncang, saya pakai 2 round sebab nak jimat.

sumber: https://www.bidadari.my/kebaikan-teh-hijau/

 

Sabtu, 14 April 2018

PERSPEKTIF 9 kesilapan penjenamaan diri terbesar yang perlu dielakkan

KINI kita berada di dunia yang terlalu bising dengan pelbagai bentuk benda yang disajikan kepada kita daripada pelbagai jenis saluran media. Mana-mana jenama yang lemah pastinya akan tenggelam begitu sahaja. Jadi, strategi yang mantap perlu dilakukan segera sekiranya anda mahukan jenama anda diingati oleh para pengguna di luar sana.
Untuk membantu anda, di sini saya senaraikan elemen yang anda boleh hindari dalam membentuk strategi penjenamaan diri sendiri. Dengan mengurangkan kesilapan ini, ia akan dapat membantu me­ngukuhkan lagi penjenamaan diri anda di mata orang ramai.
1) Produk atau perkhidmatan yang berkualiti tinggi.
Sebagai seorang pereka bentuk grafik misalnya yang bergerak secara freelancer, nama anda sudah mula dikenali dalam kalangan media sosial kegemaran anda. Anda pera­mah, baik hati dan sentiasa aktif di alam maya.
Tetapi memandangkan perkhidmatan yang anda tawarkan itu diketahui oleh orang ramai kerana kualitinya yang rendah, tidak begitu kreatif dan sering lambat dalam menghantar tugasan, penjenamaan diri anda dengan sendirinya akan terhakis sedikit demi sedikit.
2) Tidak mahir menulis.
Ini lagi menyedihkan, tidak mahir berbahasa Inggeris dan juga berbahasa Malaysia apabila menulis. Bercakap memang senang tetapi gagal dalam menulis sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Bayangkan para pengikut anda melihat anda sering mempunyai kesilapan dalam ejaan yang mudah. Ini amat memalukan dan seterusnya merosakkan jenama diri anda sendiri.
3) Mesej yang tidak konsisten.
Anda menulis atau merakam video tentang pelbagai jenis topik. Ada topik tentang pemasaran, politik, alam sekitar, hartanah, internet, rumah tangga, percutian, makanan, karier dan lain-lain lagi. Orang di luar sana tidak faham apa yang anda cuba perjuangkan sebenarnya. Sebaiknya, anda perlu fokus kepada satu jenis topik sahaja. Kalau tentang grafik, bina kan­dungan yang menjurus kepada rekabentuk grafik sahaja.
4) Tidak berinteraksi apabila ditegur.
Ramai juga yang bodoh sombong, tidak berusaha untuk membalas soalan, teguran dan pujian yang diberikan oleh para pengikut anda di media sosial. Memandangkan pengikut anda sudah mencecah 300,000 orang, ini tidak bermakna anda tidak perlu membalas langsung komen yang ditujukan kepada anda.
5) Tiada laman web peribadi yang ber-domain-kan nama sendiri.
Terlalu mengharapkan platform media sosial satu strategi yang kurang bijak. Ia semakin hari semakin mahal, ditambah lagi dengan peraturan-peraturan ketat yang disediakan. Untuk penjenamaan diri yang berimpak tinggi, anda perlu mempunyai laman web yang ber-domain-kan nama sendiri dan letakkan semua kandungan anda seperti artikel, gambar, infografik atau video di sana. Gunakan media sosial hanya sebagai alat untuk menyebarkannya sahaja, tidak lebih daripada itu.
6) Aura yang terlalu negatif di media sosial peribadi.
Anda gelisah kerana setiap temu duga yang anda hadir semuanya tidak mempunyai jawapan yang positif. Sebagai seorang graduan yang hebat, prestasi anda dalam menjawab setiap soalan yang ditanya semuanya memberangsangkan.
Kelayakan di atas kertas juga jauh melebihi orang lain yang `biasa-biasa’ sahaja. Semuanya bagus tetapi permohonan anda masih gagal. Salah satu sebab mungkin individu-individu yang menemuramah anda tadi mendapati anda mempunyai aura yang terlalu negatif, apabila secara diam-diam mereka memantau aktiviti media sosial anda. Jadi hati-hati ketika menggunakan Facebook.
7) Mengabaikan maklum balas negatif.
Susah sangat untuk memohon maaf merupakan satu faktor kejatuhan mana-mana jenama peribadi. Lihat sahaja yang tengah menjadi sensasi sekarang. Cuba jangan panjangkan perkara-perkara negatif. Lebih baik mengaku salah dan meminta maaf secara terbuka kerana ia akan membantu menutup episod yang buruk tadi dengan lebih profesional. Buang yang keruh dan ambil yang jernih, kata pepatah Melayu.
8) Tiada bajet.
Ini lagi satu kesalahan terbesar dalam membentuk penjenamaan diri. Anda tidak sepatutnya tidak mempunyai peruntukan kewangan langsung kerana hampir kesemua proses penjenamaan dan pemasaran jenama anda memerlukan wang.
9) Terasa diri sendiri macam bagus.
Ini perkara yang sering terjadi apabila terasa diri sendiri itu sudah terlalu hebat ala-ala selebriti di televisyen, tampan setanding dengan pelakon terkenal, cantik dan menawan seperti lagak seorang peragawati majalah.
Terasa diri sendiri sudah terlalu bagus tidak akan membantu dalam penjenamaan diri kerana yang menjadi para pengikut anda tadi, kesemuanya akan lari seorang demi seorang kerana sikap ‘hidung tinggi’ anda itu. Kurangkan ego anda sedikit sementara jenama anda belum terbantut.

Sumber
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/9-kesilapan-penjenamaan-diri-terbesar-yang-perlu-dielakkan-1.645542#ixzz5CeubXaAm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Israk Mikraj iktibar sepanjang zaman

MENJELANG 27 Rejab, masyarakat Islam di Malaysia dan dunia amnya akan memperingati satu peristiwa agung perjalanan bersejarah Nabi Muhammad SAW dari Masjidilharam ke Masjid Al-Aqsa dan mengembara ke langit me­ng­hadap Allah SWT. Peristiwa yang mencarik adat ini melampaui kemajuan teknologi dan garapan pemikiran manusia yang terhad lagi terbatas.
Allah SWT berfirman: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Isra’ ayat 1).
Demi menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai iktibar dalam melalui kehidupan dunia dan akhirat sebagaimana didambakan oleh setiap Muslimin maka program ceramah Israk Mikraj yang diadakan di sana sini tidaklah sekadar dijadikan halwa te­linga dan mengisi masa lapang sahaja. Banyak iktibar dan pengajaran boleh diteliti daripada peris­tiwa agung ini.
Israk Mikraj bukanlah sekadar cerita biasa yang diulang tayang setiap kali menjelang tanggal 27 Rejab. Lebih daripada itu ia mengajak Muslimin untuk memperkukuhkan pegangan berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan memelihara daripada sebarang bentuk penyelewengan akidah yang membinasakan.
Perjalanan Baginda Nabi Muhammad SAW dari masjid ke masjid menunjukkan betapa masjid memainkan peranan penting bagi melestarikan kehidupan harmoni dunia dan akhirat.
Kewujudan masjid bukanlah sekadar syiar keagamaan. Menjadi tanggungjawab Muslimin untuk mengimarahkan masjid dan memelihara kesuciannya sepanjang masa. Masjid juga bukan sekadar tempat untuk solat Jumaat, tempat mengadakan majlis akad nikah, tempat sembahyang jenazah sahaja.
Fungsinya luas sehingga pada zaman Nabi SAW menjadi tempat menyambut delegasi luar negara dan menyelesaikan masalah umat. Kaum Muslimin juga diingatkan supaya tidak sombong atau tidak mempedulikan panggilan Allah SWT untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid.
Kerana itulah saranan untuk menggapai kejayaan duniawi dan ukhrawi. Kesibukan tugasan seharian juga bukanlah penghalang untuk melaksanakan solat di masjid. Malah boleh jadi dengan cara itu segala urusan seharian dipermudahkan di samping beroleh nikmat keberkatan masa, rezeki dan umur yang diharap-harapkan oleh para Mukminin.
Dalam perjalanan Mikraj ba­ginda Nabi SAW ditunjukkan de­ngan gambaran manusia yang menanam dan menuai hasil tanaman mereka pada hari yang sama, tanpa henti.
Ketika ditanya kepada Malaikat Jibril yang menemaninya, dikatakan itu ialah balasan orang yang berjihad di jalan Allah SWT dengan dilipat gandakan amalan mereka sehingga 700 kali ganda di sisi Allah SWT.
Justeru setiap Muslimin perlu berjihad dalam melaksanakan pelbagai ketaatan tanpa rasa jemu. Namun, realitinya ia bukan mudah untuk dilaksanakan. Pas­tinya terdapat pelbagai halangan dan ujian dalam mendekatkan diri kepada Ilahi sehingga memerlukan pengorbanan tenaga, masa dan wang ringgit.
Malah dalam keadaan tertentu seseorang kemungkinan terpaksa mengorbankan keseronokan dunia yang sementara demi berharap ganjaran di hari kemudian. Yakin dan percayalah segala amalan ibadah dan kebajikan pasti dibalas dengan ganjaran yang se­timpal oleh-Nya.
Pelbagai gambaran dosa dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW sepanjang perjalanan Mikraj seharusnya dijadikan iktibar oleh kaum Muslimin untuk berhenti daripada terus bergelumang dosa.
Tidak ada gunanya berbangga-bangga dan menunjukkan kepada dunia akan pelbagai dosa yang sengaja dilakukan kerana kelak akan diseksa dengan azab yang tidak tertanggung.
Golongan yang suka memuat naik pelbagai peri laku maksiat ke media sosial sebagai contoh­nya dinasihatkan supaya berfikir seribu kali sebelum berbuat demikian kerana akan dipertanggungjawabkan dengan dosa seluruh dunia yang menontonnya. Ini termasuklah memaparkan gambar tidak menutup aurat, menyebarkan fitnah dan berita palsu.
Golongan ini diingatkan de­ngan gambaran manusia yang memotong lidahnya berulang kali sebagai balasan memfitnah, mengumpat dan mengeji sesama manusia.
Solat lima waktu yang difardukan pada malam tersebut secara langsung oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW menunjukkan kepentingan solat dalam mempertautkan hubu­ngan makhluk dengan khalik (Pencipta).
Maka ibadah solat tidak patut dikesampingkan dalam kehidupan Muslim. Ia hendaklah dilakukan dengan khusyuk, tawaduk sambil berharap keampunan dan keredaan-Nya. Seseorang yang menjaga solat pasti akan dipermudah segala urusan sebaliknya sesiapa yang mengabaikan solat kemungkinan berhadapan dengan pelbagai musibah dalam mengharungi liku-liku kehidupan.
Perjalanan Israk Mikraj menun­­jukkan betapa Allah SWT Maha Berkuasa untuk menjadikan segala sesuatu termasuk yang tidak dapat digambarkan oleh logik pemikiran manusia. Untuk itu setiap insan wajib meletakkan pergantungan hanya kepada-Nya.
Usah mendabik dada dan berbangga dengan segala pencapaian­ yang ada kerana tanpa izin dan perkenan daripada -Nya, manusia ti­dak mampu melakukan apa-apa.
Allah SWT juga Maha Berkuasa untuk menguji hambanya dengan ujian kehilangan nyawa, kekurangan rezeki, ketakutan dan ke­sedihan sehingga seseorang yang terpelihara daripada musibah disunatkan pula me­lakukan sujud sebagai tanda bersyukur.
Sehubungan itu peringatan Israk dan Mikraj hendaklah dijadikan iktibar dan pengajaran untuk terus memperkukuh hubungan dengan Allah SWT melalui apa sahaja aktiviti ibadat yang disyariatkan. Apatah lagi menjelang bulan Ramadan al-Mubarak yang akan kunjung tiba tidak berapa lama lagi.
DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.

Sumber:
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/israk-mikraj-iktibar-sepanjang-zaman-1.647654#ixzz5CesHuIjr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Isnin, 12 Jun 2017

HUKUM WANITA MEMAKAI WANGI-WANGIAN

IRSYAD AL-FATWA KE-199: HUKUM WANITA MEMAKAI WANGI-WANGIAN (PERFUME)
Ditulis oleh Syed Husaini Syed Hassan
Diterbitkan: 02 Jun 2017
Soalan:
Apakah hukumnya bagi wanita memakai minyak wangi kemudian keluar ke rumah untuk bekerja, ke pasar dan sebagainya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Terdapat sebuah hadis yang boleh dijadikan perbincangan di dalam isu ini. Ia adalah sebuah hadis daripada Abu Musa al-Asy`ari RA bahawa Nabi SAW telah bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ
Maksudnya: Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau darinya maka perempuan itu adalah penzina.
Riwayat Abu Daud (4173) & Al-Nasa’ie (5126). Hadis ini dinilai sebagai hasan.
Al-Imam al-Munawi Rahimahullah menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan hadis di atas adalah perempuan yang memakai minyak wangi yang terzahir dan kuat baunya kemudian keluar dari rumah lalu melewati satu kaum iaitu lelaki-lelaki ajanib dan memang itu tujuannya, maka perempuan itu adalah penzina dari sudut mendapatkan dosanya. [Lihat Faydh al-Qadir. Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 3/147]
Seterusnya al-Imam al-Munawi Rahimahullah menyebutkan:
والمرأة إذا استعطرت فمرت بالمجلس فقد هيجت شهوة الرجال بعطرها وحملتهم على النظر إليها، فكل من ينظر ‏إليها فقد زنا بعينه، ويحصل لها إثمٌ لأنها حملته على النظر إليها وشوشت قلبه، فإذن هي سببُ زناه بالعين، فهي أيضاً زانية
Maksudnya: dan perempuan jika mengenakan wangian lalu melewati satu majlis (yang padanya terdapat lelaki-lelaki) maka ia mampu menaikkan syahwat lelaki-lelaki dan mendorong untuk memandang kearahnya, maka setiap yang memandang kearahnya, maka matanya telah melakukan zina. Perempuan itu mendapat dosa kerana telah memancing pandangan kearahnya dan menjadikan hati lelaki tidak tenang. Makanya, ia adalah sebab berlakunya zina mata dan ia termasuk penzina. [Lihat Faydh al-Qadir. Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 5/27]
Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Abu Hurairah RA yang mana pada satu ketika dia telah bertemu dengan seorang perempuan yang ingin pergi ke masjid dalam keadaan mengenakan wangi-wangian. Lalu Abu Hurairah RA berkata: “Kamu ke masjid dalam keadaan berwangi-wangian? Sesungguhnya aku telah mendengar Nabi SAW telah bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ تَطَيَّبَتْ، ثُمَّ خَرَجَتْ إِلَى الْمَسْجِدِ، لَمْ تُقْبَلْ لَهَا صَلَاةٌ حَتَّى تَغْتَسِلَ
Maksudnya: Mana-mana wanita yang mengenakan wangian kemudian keluar menuju ke masjid, tidak diterima solatnya sehinggalah dia mandi (bagi menghilangkan bau wangi tersebut)
Riwayat Ibn Majah (4002). Syeikh Syu’aib mengatakan bahawa sanadnya lemah kerana terdapat padanya `Asim bin Ubaidullah.
Begitu juga apabila melihat athar para sahabat yang mana mereka amat menitikberatkan mengenai isu ini sepertimana yang diriwayatkan ketika zaman pemerintahan Umar al-Khattab RA, telah keluar seorang wanita dalam keadaan mengenakan bau-bauan sehingga dicium baunya lalu Umar memukulnya dengan tongkat miliknya lalu berkata:
تَخْرُجْنَ مُتَطَيِّبَاتٍ، فَيَجِدُ الرِّجَالُ رِيحَكُنَّ، وَإِنَّمَا قُلُوبُ الرِّجَالِ عِنْدَ أُنُوفِهِمْ، اخْرُجْنَ تَفِلَاتٍ
Maksudnya: Kalian, para wanita keluar rumah dengan memakai wangi-wangian sehingga para lelaki mencium bau harum kalian?! Sesungguhnya hati lelaki itu ditentukan oleh bau yang dicium oleh hidungnya. Keluarlah kalian dari rumah dengan tidak memakai wangi-wangian.”
Riwayat Abdul Razak di dalam Musannafnya (8107)
Adakah Tidak Boleh Langsung Wanita Memakai Wangi-Wangian?
Apabila melihat kepada hadis-hadis serta riwayat-riwayat yang disebutkan di atas , jelas menunjukkan akan keharaman wanita untuk mengenakan wangian apabila keluar di rumah. Adapun jenis wangian yang disebutkan di sini adalah dari jenis yang zahir, kuat baunya sehingga mengalihkan pandangan ajnabi tertempu kepadanya. Ini boleh menggerakkan syahwat lelaki-lelaki yang mana hati mereka telahpun sakit dan boleh membawa kepada berlakunya perkara yang lebih buruk.
Jika begini keadaannya, maka perbuatan tersebut adalah haram dan al-Imam Ibn Hajar al-Haithami Rahimahullah menyebutkan bahawa ia termasuk di dalam dosa besar meskipun si suami mengizinkan berpenampilan sedemikian. [Lihat al-Zawajir. Dar al-Fikr, 2/71]
Adapun mengenakan sedikit wangian-wangian bagi tujuan menghilangkan bau badan seperti memakai deodorant, bedak talcum, sabun dan sebagainya, ini tidaklah termasuk di dalam kategori yang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW sebelum ini.
Ini kerana di dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda:
إِنَّ خَيْرَ طِيبِ الرَّجُلِ مَا ظَهَرَ رِيحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ وَخَيْرَ طِيبِ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيحُهُ
Maksudnya: Sesungguhnya wangian yang baik bagi lelaki adalah yang terzahir baunya dan tidak jelas warnanya dan wangian yang baik bagi wanita adalah yang terzahir warnanya dan tidak begitu kuat baunya.
Riwayat Al-Tirmizi (2788). Dinilai sahih oleh al-Albani.
Al-Hasan mengatakan kemungkinan yang dimaksudkan dengan wangian wanita itu adalah wangian ketika keluarnya mereka dari rumah iaitu wangian yang jelas warnanya seperti za`faran dan baunya tidak pula kuat dan jelas. Adapun apabila bersama suaminya (tidak dikhalayak) maka berwangi-wangianlah dengan apa yang disukai olehnya.
Begitu juga yang disebutkan oleh al-Imam Badruddin al-`Aini Rahimahullah:
وإنما كان خير طيب النساء هو اللون دون الريح لأن اللون يجعل الزينة لهن وأما الريح فإنه إذا فاح منهن يتأتى منه فساد، ويخاف عليهن من الفتنة
Maksudnya: Adapun sebaik-baik wangian bagi wanita adalah pada warnanya dan bukan pada baunya kerana pada warna itu dijadikan perhiasan bagi mereka manakala bau sesungguhnya jika tersebar baunya (kuat sehingga dapat dihidu baunya) akan datang padanya kerosakan dan takut keatasnya tertimpa fitnah. [Lihat Nukhabu al-Afkar fi Tanqih Mabani al-Akhbar, 9/97]
Kesimpulan
Kami berpendapat bahawa wanita boleh mengenakan sedikit wangi-wangian yang tidak terzahir baunya. Ini juga bagi menjaga penampilan wanita tersebut apabila berada dikhalayak. Begitu juga dibolehkan bagi pemakaian bedak, deodorant, sabun dan sebagainya.
Elakkan dari menggunakan wangian yang kuat baunya sehingga boleh menarik perhatian lelaki ajanib yang boleh menyebabkan fitnah dan juga boleh mengheret kepada lembah maksiat yang lain. Ini seperti mana yang terdapat di dalam hadis-hadis yang menyamakan perempuan sebegini sebagai penzina. Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
2 Jun 2017 bersamaan 7 Ramadhan 1438H

Sabtu, 22 Oktober 2016

Khamis, 22 Oktober 2015

Jerebu: Guru disaran guna VLE teruskan PdP


  7  0 Google +1
KUALA LUMPUR 21 Okt. – Para guru disaran memanfaatkan platform Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) bagi memastikan proses pe­ngajaran dan pembelajaran (PdP) kepada murid-murid terus berjalan walaupun sekolah ditutup akibat jerebu.
KHAIR MOHAMAD YUSOF
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Khair Mohamad Yusof berkata, melalui VLE, guru bukan sahaja menyediakan tugasan kepada murid malah menyemak tugasan serta memberi ujian menerusi dalam talian.
“Dalam masa sama, pihak kementerian sendiri akan melihat semula isu jerebu ini dan mencari jalan memastikan PdP berjalan seperti biasa, salah satunya dengan menggunakan teknologi dalam talian.
“Jawatankuasa khas akan me­ran­cang memperkemas kini prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Anugerah Pembestarian Sekolah Pe­ringkat Kebangsaan 2015, di sini hari ini.
VLE yang merupakan projek di bawah 1BestariNet, adalah platform berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.
Dalam perkembangan berkaitan, Khair berkata, peperiksaan akhir tahun dan awam berjalan seperti biasa walaupun sekolah ditutup sehingga pengisytiharan darurat oleh kerajaan.
Sementara itu, katanya, anugerah tersebut adalah pengiktirafan kepada semua pihak yang telah menjayakan usaha untuk meningkatkan PdP serta pengurusan dan pentadbiran sekolah berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Sebanyak empat anugerah dipertandingkan iaitu Animasi Bercerita Digital (DST), Penggunaan VLE, Pusat Sumber Sekolah dan Pen­capaian Tahap Bes­tari.
Bagi Anugerah Penggunaan VLE, Wilayah Persekutuan Labuan muncul johan bagi kategori negeri terbaik, diikuti Johor di tempat kedua dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di tempat ketiga.
Bagi Anugerah Pencapaian Tahap Bestari, johan kategori negeri terbaik milik Terengganu, Perlis di tempat kedua dan Wilayah Persekutuan Labuan di tempat ketiga.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jerebu-guru-disaran-guna-vle-teruskan-pdp-1.149202#sthash.tAKHsWtH.P3vimdj3.dpuf

Khasiat Buah Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan

(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)   18 Khasiat Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan | Bidara (Nama...