Cukuplah Sekali-JJ

Rabu, 11 April 2012

Elakkan 'tunai segera' kad kredit


AUDREY LIM risau kerana dia kekurangan wang tunai dalam simpanan. Disebabkan keperluan membeli barangan kegunaan harian, beliau telah bertindak menggunakan kemudahan pendahuluan wang tunai dengan mengguna kad kredit di mesin juruwang automatik (ATM).
"Saya keluarkan RM250, tetapi terperanjat bila terima bil kad kredit. Saya dikenakan caj pendahuluan tunai sebanyak RM50 bagi transaksi tersebut. Itu adalah 25 peratus daripada wang tunai yang saya keluarkan.
"Saya sepatutnya dengar nasihat kawan. Mereka beritahu guna kad kredit bagi pendahuluan tunai adalah tidak digalakkan kerana faedah yang dikenakan tinggi selain caj wang pendahuluan yang juga tinggi," cerita Audrey baru-baru ini.
"Ia lebih teruk daripada meminjam di pajak gadai," keluhnya.
Konsultan kewangan, Ng Lai Wai pula berkata, membuat pengeluaran pendahuluan tunai menggunakan kad kredit adalah satu tindakan berisiko, mahal dan membawa bersama potensi menanggung beban hutang jika ia tidak dibayar segera.
"Pendahuluan tunai datang dengan caj, antara satu hingga empat peratus daripada jumlah pengeluaran. Ia juga punya kadar faedah yang tinggi jika dibandingkan dengan membuat pembelian biasa bila guna kad kredit," jelas Lai Wai.
Menurut Lai Wai, ada bank yang mengenakan bayaran sehingga RM50 bagi setiap transaksi pengeluaran wang tunai pendahuluan.


"Kebanyakan kad kredit tidak memberi tempoh rehat bagi pendahuluan tunai, maknanya faedah bermula dari masa wang itu dikeluarkan daripada ATM. Jangan lupa ada juga bayaran seperti caj penggunaan mesin ATM," jelas beliau.
Katanya, caj-caj itu menyebabkan pendahuluan tunai kad kredit adalah sesuatu yang sangat mahal.
Sehubungan itu, Lai Wai menasihati pengguna kad kredit agar hanya menggunakan kemudahan pendahuluan tunai sekiranya betul-betul kecemasan seperti bila berlaku kecemasan perubatan yang memerlukan pembayaran tunai.

MENGELUARKAN wang tunai kad kredit di mesin ATM memang mudah, tetapi akibat yang perlu ditanggung pengguna adalah sangat besar.


"Elak daripada membuat pendahuluan tunai untuk membayar keperluan harian seperti barangan runcit. Pemegang kad kredit juga perlu tahu had pendahuluan tunai mereka.
"Had pendahuluan tunai biasanya adalah kurang daripada had kredit. Dengan membuat pengeluaran lebih daripada had pendahuluan tunai, akan mendatangkan caj lebih tinggi atau denda.
"Seandainya berlaku kecemasan, ambil hanya jumlah yang diperlukan dan tidak lebih daripada itu," kata beliau.
Tambah Lai Wai, memilih untuk mendapatkan tunai cepat sebenarnya menggambarkan wujudnya masalah kewangan seperti terlebih berbelanja atau tiada simpanan tunai untuk kecemasan.
"Bila perkara sebegini berlaku, membayar balik pendahuluan tunai akan mengambil masa yang lama serta menelan duit yang lebih," katanya.
Beliau menasihati pengguna agar memilih jalan lain sebagai alternatif terhadap penggunaan kad kredit bagi pendahuluan tunai.
"Mungkin anda boleh pinjam daripada keluarga atau rakan," ujar beliau.
Pilihan kurang bijak
Kata Lai Wai, menggunakan kad kredit bagi mendapatkan pendahuluan tunai adalah satu pilihan yang tidak bijak.
"Ia seolah-olah seperti guna kad kredit untuk membeli barangan, tetapi pengguna tidak tahu akibat penggunaan kad kredit bagi pendahuluan tunai impaknya adalah lebih besar dan tidak menyebelahi pengguna.
"Kadar faedah bagi pendahuluan tunai adalah tinggi jika dibandingkan dengan penggunaan lain. Biasanya kadar faedah bagi pengeluaran tunai ialah 20 hingga 25 peratus.
"Syarikat kad kredit juga mengenakan caj bagi pengeluaran tunai tidak kira berapa jumlah yang dikeluarkan.
"Walaupun keluarkan tunai RM50 atau RM500, anda akan dikenakan caj pendahuluan wang tunai yang sama bagi setiap kali pengeluaran. Bank yang punya ATM juga akan mengenakan caj," jelasnya. - Bernama
Sumber:kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen.

Khasiat Buah Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan

(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)   18 Khasiat Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan | Bidara (Nama...