Penyebaran klip video buli sekumpulan pelajar membelasah seorang rakan baru-baru ini,mendapat perhatian ramai. Rentetan daripada itu, satu persatu video klip kes bulidipaparkan di media sosial.
Kini, timbul persoalan mengenai sejauh mana masalah ini diselesaikan pihak sekolah. Wartawan BH,Nadia Hamid menemubual bekas Ketua Pengarah Pelajaran, yang kini Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), Tan Sri Abdul Rahman Arshad, mengenainya. Beliau, yang juga pelopor sekolah sains dan sistem berasrama penuh bertanggungjawab memperkenalkan sistem hukuman rotan (public canning).
pqc
S: Apa pandangan Tan Sri mengenai kes buli, yang kerap berlaku dan dimuat naik di laman sosial?
J: Senario hari ini, sekolah, guru dan ibu bapa terlampau mengejar pencapaian akademik dan mengabaikan pendidikan moral. Pelajar cemerlang disediakan tuisyen tambahan, hadiahsagu hati, namun, tidak pertimbangkan kelakuan akhlaknya.
Pelajar dididik menghafal, bukannya berfikir. Kebanyakan ibu bapa pula, bekerja untuk mengukuhkan ekonomi keluarga. Masa dengan anak terhad, menyebabkan anak terbiar dan mudah terpengaruhanasir luar. Pengaruh globalisasi seperti kelakuan jenayah di negara luar, diterima dengan pantas dalam kelompok pelajar dan ada antaranya, dipraktikkan secara melulu. Budaya orang kita suka meniru, tanpa fikir kesannya, kelak.
S: Pada tahun 1988, kes buli yang berlaku di Sekolah Menengah Teknik, Cheras hingga menyebabkan kematian membuka mata banyak pihak mengenai seriusnya kes buli di sekolah berasrama. Tan Sri (ketika itu Ketua Pengarah Pelajaran), memperkenalkan sistem hukuman rotan di sekolah. Apa matlamat utamanya ketika itu?
J: Kes pada tahun 1988, menggemparkan seluruh negara kerana ia kes 'ragging' (buli) pertama menyebabkan kematian. Seorang pelajar Tingkatan Lima, Hishamuddin dari Sekolah Menengah Teknik (SMT) di Cheras, Kuala Lumpur dibelasah beberapa orang bekas pelajar atau 'super senior' dalam tandas pada 24 Mac 1988 (Khamis) hingga meninggal dunia. Kes jenayah itu permulaan kepada pengenalan sistem hukuman rotan di sekolah. Matlamat saya, mengawal pelajar bertindak di luar batas kemanusiaan dan berfikir secara waras sebelum melakukan sesuatu tindakan. Merotan tidak sampai mencederakan, sekadar mengajar.
S: Sejauh mana keberkesanan hukuman rotan yang dilaksanakan sebelum ini?
J: Pepatah Inggeris menyatakan, Spare the rod and spoil the child - Adat menjadi budak lelaki perlu kena rotan! Ketika di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), ramai anak murid saya berjaya, antaranya bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid. Banyak lagi bukti menunjukkan orang berjaya pernah dirotan ketika zaman persekolahannya. Saya rasa, kalau ditanyakan secara terbuka hari ini, ramai mengaku pernah dirotan ketika bersekolah. Sejarah membuktikan, hukuman rotan berupaya mendidik pelajar patuh kepada undang-undang sekolah dan menghormati guru serta berjaya menjadi manusia berguna nanti.
S: Pendapat Tan Sri mengenai 'capital punishment' (hukuman berat dan berbentuk fizikal seperti rotan) bagi menghukum pelajar?
J: Kementerian Pendidikan kena memperkenalkan semula sistem hukuman rotan di sekolah. Tidak kiralah, siapa (guru) yang dibenarkan merotan, tetapi pastikan pelajar sekarang 'gerun' melakukan kesalahan. Jelaskan kenapa mereka bersalah dan wajar dihukum rotan. Kementerian dan pihak sekolah, kena ada juga kaedah menangani masalah sosial dalam kalangan pelajar.
Kalau dibiarkan berterusan, kelak guru pula akan dipatah-patahkan (menerima balasan). Cara lain mengatasi pelajar bermasalah iaitu melaksanakan pengajaran dan promosi nilai murni, jadikan guru sebagai role-model (contoh) dan tidak terlampau mengutamakan pencapaian akademik semata-mata. Guru disiplin dan media, harus memainkan peranan melahirkan pelajar berakhlak mulia. Sekolah juga boleh memperkenalkan aktiviti berkelompok, untuk elak pembentukan kumpulan kecil dan buli. Aktiviti berkumpulan mengajar pelajar bertanggungjawab antara satu sama lain.
S: Adakah gejala buli berleluasa disebabkan sikap ibu bapa terlampau melindungi, anak tak boleh disentuh dan suka mengkritik atau menempelak tindakan guru anak mereka?
J: Ibu bapa hari ini terlalu melindungi anak mereka. Dulu, kalau guru denda atau rotan pelajar, tak ada yang berani beritahu ibu bapa, takut dipersalahkan kembali. Tetapi, kini, anak pantang disentuh. Menjeling pelajar pun tidak boleh.
Ibu bapa akan ambil tindakan undang-undang. Bagi mengatasi masalah ini, ibu bapa wajar memainkan peranan membina jaringan perhubungan dengan guru. Perkukuhkan kerjasama dengan guru sekolah, berani datang ke sekolah dan jatuhkan hukuman kepada anak, jika mereka bersalah. Jangan asyik membela anak. Jangan nafikan tugas guru mendidik anak sehingga berjaya.
sumber: http://www.bharian.com.my/node/16394