• Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan HassanDatuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan
 1 / 1 
KUANTAN - Kadar zakat fitrah bagi negeri Pahang pada tahun ini sama RM7 seperti tahun lepas, kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.
 
Menurut Abdul Wahid, kadar itu itu kekal selama tujuh tahun berturut-turut sejak 2009 berdasarkan harga, gred dan jenis beras yang kebanyakan dimakan rakyat di negeri ini.
 
“Kadar itu juga telah diperkenan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Agama Islam Negeri Pahang dan pembayaran zakat fitrah akan bermula pada awal Ramadan sehingga selewat-lewatnya sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
    
"Bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah pada tahun ini, MUIP melantik sebanyak 945 orang amil untuk membuat kutipan di seluruh Pahang," katanya.
 
Muip menjangkakan kutipan zakat fitrah pada tahun ini akan meningkat kepada RM7 juta berbanding RM6.7 juta pada tahun lepas disebabkan penambahan penduduk umat Islam di negeri ini.
 
Abdul Wahid berkata, sepanjang Ramadan ini juga Muip memperuntukkan RM3. 1 juta bagi tujuan mengimarahkan masjid di seluruh Pahang. - Bernama 

sumber:sinar harian