Cukuplah Sekali-JJ

Isnin, 12 Jun 2017

HUKUM WANITA MEMAKAI WANGI-WANGIAN

IRSYAD AL-FATWA KE-199: HUKUM WANITA MEMAKAI WANGI-WANGIAN (PERFUME)
Ditulis oleh Syed Husaini Syed Hassan
Diterbitkan: 02 Jun 2017
Soalan:
Apakah hukumnya bagi wanita memakai minyak wangi kemudian keluar ke rumah untuk bekerja, ke pasar dan sebagainya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Terdapat sebuah hadis yang boleh dijadikan perbincangan di dalam isu ini. Ia adalah sebuah hadis daripada Abu Musa al-Asy`ari RA bahawa Nabi SAW telah bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ
Maksudnya: Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau darinya maka perempuan itu adalah penzina.
Riwayat Abu Daud (4173) & Al-Nasa’ie (5126). Hadis ini dinilai sebagai hasan.
Al-Imam al-Munawi Rahimahullah menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan hadis di atas adalah perempuan yang memakai minyak wangi yang terzahir dan kuat baunya kemudian keluar dari rumah lalu melewati satu kaum iaitu lelaki-lelaki ajanib dan memang itu tujuannya, maka perempuan itu adalah penzina dari sudut mendapatkan dosanya. [Lihat Faydh al-Qadir. Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 3/147]
Seterusnya al-Imam al-Munawi Rahimahullah menyebutkan:
والمرأة إذا استعطرت فمرت بالمجلس فقد هيجت شهوة الرجال بعطرها وحملتهم على النظر إليها، فكل من ينظر ‏إليها فقد زنا بعينه، ويحصل لها إثمٌ لأنها حملته على النظر إليها وشوشت قلبه، فإذن هي سببُ زناه بالعين، فهي أيضاً زانية
Maksudnya: dan perempuan jika mengenakan wangian lalu melewati satu majlis (yang padanya terdapat lelaki-lelaki) maka ia mampu menaikkan syahwat lelaki-lelaki dan mendorong untuk memandang kearahnya, maka setiap yang memandang kearahnya, maka matanya telah melakukan zina. Perempuan itu mendapat dosa kerana telah memancing pandangan kearahnya dan menjadikan hati lelaki tidak tenang. Makanya, ia adalah sebab berlakunya zina mata dan ia termasuk penzina. [Lihat Faydh al-Qadir. Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 5/27]
Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Abu Hurairah RA yang mana pada satu ketika dia telah bertemu dengan seorang perempuan yang ingin pergi ke masjid dalam keadaan mengenakan wangi-wangian. Lalu Abu Hurairah RA berkata: “Kamu ke masjid dalam keadaan berwangi-wangian? Sesungguhnya aku telah mendengar Nabi SAW telah bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ تَطَيَّبَتْ، ثُمَّ خَرَجَتْ إِلَى الْمَسْجِدِ، لَمْ تُقْبَلْ لَهَا صَلَاةٌ حَتَّى تَغْتَسِلَ
Maksudnya: Mana-mana wanita yang mengenakan wangian kemudian keluar menuju ke masjid, tidak diterima solatnya sehinggalah dia mandi (bagi menghilangkan bau wangi tersebut)
Riwayat Ibn Majah (4002). Syeikh Syu’aib mengatakan bahawa sanadnya lemah kerana terdapat padanya `Asim bin Ubaidullah.
Begitu juga apabila melihat athar para sahabat yang mana mereka amat menitikberatkan mengenai isu ini sepertimana yang diriwayatkan ketika zaman pemerintahan Umar al-Khattab RA, telah keluar seorang wanita dalam keadaan mengenakan bau-bauan sehingga dicium baunya lalu Umar memukulnya dengan tongkat miliknya lalu berkata:
تَخْرُجْنَ مُتَطَيِّبَاتٍ، فَيَجِدُ الرِّجَالُ رِيحَكُنَّ، وَإِنَّمَا قُلُوبُ الرِّجَالِ عِنْدَ أُنُوفِهِمْ، اخْرُجْنَ تَفِلَاتٍ
Maksudnya: Kalian, para wanita keluar rumah dengan memakai wangi-wangian sehingga para lelaki mencium bau harum kalian?! Sesungguhnya hati lelaki itu ditentukan oleh bau yang dicium oleh hidungnya. Keluarlah kalian dari rumah dengan tidak memakai wangi-wangian.”
Riwayat Abdul Razak di dalam Musannafnya (8107)
Adakah Tidak Boleh Langsung Wanita Memakai Wangi-Wangian?
Apabila melihat kepada hadis-hadis serta riwayat-riwayat yang disebutkan di atas , jelas menunjukkan akan keharaman wanita untuk mengenakan wangian apabila keluar di rumah. Adapun jenis wangian yang disebutkan di sini adalah dari jenis yang zahir, kuat baunya sehingga mengalihkan pandangan ajnabi tertempu kepadanya. Ini boleh menggerakkan syahwat lelaki-lelaki yang mana hati mereka telahpun sakit dan boleh membawa kepada berlakunya perkara yang lebih buruk.
Jika begini keadaannya, maka perbuatan tersebut adalah haram dan al-Imam Ibn Hajar al-Haithami Rahimahullah menyebutkan bahawa ia termasuk di dalam dosa besar meskipun si suami mengizinkan berpenampilan sedemikian. [Lihat al-Zawajir. Dar al-Fikr, 2/71]
Adapun mengenakan sedikit wangian-wangian bagi tujuan menghilangkan bau badan seperti memakai deodorant, bedak talcum, sabun dan sebagainya, ini tidaklah termasuk di dalam kategori yang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW sebelum ini.
Ini kerana di dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda:
إِنَّ خَيْرَ طِيبِ الرَّجُلِ مَا ظَهَرَ رِيحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ وَخَيْرَ طِيبِ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيحُهُ
Maksudnya: Sesungguhnya wangian yang baik bagi lelaki adalah yang terzahir baunya dan tidak jelas warnanya dan wangian yang baik bagi wanita adalah yang terzahir warnanya dan tidak begitu kuat baunya.
Riwayat Al-Tirmizi (2788). Dinilai sahih oleh al-Albani.
Al-Hasan mengatakan kemungkinan yang dimaksudkan dengan wangian wanita itu adalah wangian ketika keluarnya mereka dari rumah iaitu wangian yang jelas warnanya seperti za`faran dan baunya tidak pula kuat dan jelas. Adapun apabila bersama suaminya (tidak dikhalayak) maka berwangi-wangianlah dengan apa yang disukai olehnya.
Begitu juga yang disebutkan oleh al-Imam Badruddin al-`Aini Rahimahullah:
وإنما كان خير طيب النساء هو اللون دون الريح لأن اللون يجعل الزينة لهن وأما الريح فإنه إذا فاح منهن يتأتى منه فساد، ويخاف عليهن من الفتنة
Maksudnya: Adapun sebaik-baik wangian bagi wanita adalah pada warnanya dan bukan pada baunya kerana pada warna itu dijadikan perhiasan bagi mereka manakala bau sesungguhnya jika tersebar baunya (kuat sehingga dapat dihidu baunya) akan datang padanya kerosakan dan takut keatasnya tertimpa fitnah. [Lihat Nukhabu al-Afkar fi Tanqih Mabani al-Akhbar, 9/97]
Kesimpulan
Kami berpendapat bahawa wanita boleh mengenakan sedikit wangi-wangian yang tidak terzahir baunya. Ini juga bagi menjaga penampilan wanita tersebut apabila berada dikhalayak. Begitu juga dibolehkan bagi pemakaian bedak, deodorant, sabun dan sebagainya.
Elakkan dari menggunakan wangian yang kuat baunya sehingga boleh menarik perhatian lelaki ajanib yang boleh menyebabkan fitnah dan juga boleh mengheret kepada lembah maksiat yang lain. Ini seperti mana yang terdapat di dalam hadis-hadis yang menyamakan perempuan sebegini sebagai penzina. Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
2 Jun 2017 bersamaan 7 Ramadhan 1438H

Khasiat Buah Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan

(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)   18 Khasiat Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan | Bidara (Nama...