Cukuplah Sekali-JJ

Sabtu, 14 April 2018

PERSPEKTIF 9 kesilapan penjenamaan diri terbesar yang perlu dielakkan

KINI kita berada di dunia yang terlalu bising dengan pelbagai bentuk benda yang disajikan kepada kita daripada pelbagai jenis saluran media. Mana-mana jenama yang lemah pastinya akan tenggelam begitu sahaja. Jadi, strategi yang mantap perlu dilakukan segera sekiranya anda mahukan jenama anda diingati oleh para pengguna di luar sana.
Untuk membantu anda, di sini saya senaraikan elemen yang anda boleh hindari dalam membentuk strategi penjenamaan diri sendiri. Dengan mengurangkan kesilapan ini, ia akan dapat membantu me­ngukuhkan lagi penjenamaan diri anda di mata orang ramai.
1) Produk atau perkhidmatan yang berkualiti tinggi.
Sebagai seorang pereka bentuk grafik misalnya yang bergerak secara freelancer, nama anda sudah mula dikenali dalam kalangan media sosial kegemaran anda. Anda pera­mah, baik hati dan sentiasa aktif di alam maya.
Tetapi memandangkan perkhidmatan yang anda tawarkan itu diketahui oleh orang ramai kerana kualitinya yang rendah, tidak begitu kreatif dan sering lambat dalam menghantar tugasan, penjenamaan diri anda dengan sendirinya akan terhakis sedikit demi sedikit.
2) Tidak mahir menulis.
Ini lagi menyedihkan, tidak mahir berbahasa Inggeris dan juga berbahasa Malaysia apabila menulis. Bercakap memang senang tetapi gagal dalam menulis sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Bayangkan para pengikut anda melihat anda sering mempunyai kesilapan dalam ejaan yang mudah. Ini amat memalukan dan seterusnya merosakkan jenama diri anda sendiri.
3) Mesej yang tidak konsisten.
Anda menulis atau merakam video tentang pelbagai jenis topik. Ada topik tentang pemasaran, politik, alam sekitar, hartanah, internet, rumah tangga, percutian, makanan, karier dan lain-lain lagi. Orang di luar sana tidak faham apa yang anda cuba perjuangkan sebenarnya. Sebaiknya, anda perlu fokus kepada satu jenis topik sahaja. Kalau tentang grafik, bina kan­dungan yang menjurus kepada rekabentuk grafik sahaja.
4) Tidak berinteraksi apabila ditegur.
Ramai juga yang bodoh sombong, tidak berusaha untuk membalas soalan, teguran dan pujian yang diberikan oleh para pengikut anda di media sosial. Memandangkan pengikut anda sudah mencecah 300,000 orang, ini tidak bermakna anda tidak perlu membalas langsung komen yang ditujukan kepada anda.
5) Tiada laman web peribadi yang ber-domain-kan nama sendiri.
Terlalu mengharapkan platform media sosial satu strategi yang kurang bijak. Ia semakin hari semakin mahal, ditambah lagi dengan peraturan-peraturan ketat yang disediakan. Untuk penjenamaan diri yang berimpak tinggi, anda perlu mempunyai laman web yang ber-domain-kan nama sendiri dan letakkan semua kandungan anda seperti artikel, gambar, infografik atau video di sana. Gunakan media sosial hanya sebagai alat untuk menyebarkannya sahaja, tidak lebih daripada itu.
6) Aura yang terlalu negatif di media sosial peribadi.
Anda gelisah kerana setiap temu duga yang anda hadir semuanya tidak mempunyai jawapan yang positif. Sebagai seorang graduan yang hebat, prestasi anda dalam menjawab setiap soalan yang ditanya semuanya memberangsangkan.
Kelayakan di atas kertas juga jauh melebihi orang lain yang `biasa-biasa’ sahaja. Semuanya bagus tetapi permohonan anda masih gagal. Salah satu sebab mungkin individu-individu yang menemuramah anda tadi mendapati anda mempunyai aura yang terlalu negatif, apabila secara diam-diam mereka memantau aktiviti media sosial anda. Jadi hati-hati ketika menggunakan Facebook.
7) Mengabaikan maklum balas negatif.
Susah sangat untuk memohon maaf merupakan satu faktor kejatuhan mana-mana jenama peribadi. Lihat sahaja yang tengah menjadi sensasi sekarang. Cuba jangan panjangkan perkara-perkara negatif. Lebih baik mengaku salah dan meminta maaf secara terbuka kerana ia akan membantu menutup episod yang buruk tadi dengan lebih profesional. Buang yang keruh dan ambil yang jernih, kata pepatah Melayu.
8) Tiada bajet.
Ini lagi satu kesalahan terbesar dalam membentuk penjenamaan diri. Anda tidak sepatutnya tidak mempunyai peruntukan kewangan langsung kerana hampir kesemua proses penjenamaan dan pemasaran jenama anda memerlukan wang.
9) Terasa diri sendiri macam bagus.
Ini perkara yang sering terjadi apabila terasa diri sendiri itu sudah terlalu hebat ala-ala selebriti di televisyen, tampan setanding dengan pelakon terkenal, cantik dan menawan seperti lagak seorang peragawati majalah.
Terasa diri sendiri sudah terlalu bagus tidak akan membantu dalam penjenamaan diri kerana yang menjadi para pengikut anda tadi, kesemuanya akan lari seorang demi seorang kerana sikap ‘hidung tinggi’ anda itu. Kurangkan ego anda sedikit sementara jenama anda belum terbantut.

Sumber
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/9-kesilapan-penjenamaan-diri-terbesar-yang-perlu-dielakkan-1.645542#ixzz5CeubXaAm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Israk Mikraj iktibar sepanjang zaman

MENJELANG 27 Rejab, masyarakat Islam di Malaysia dan dunia amnya akan memperingati satu peristiwa agung perjalanan bersejarah Nabi Muhammad SAW dari Masjidilharam ke Masjid Al-Aqsa dan mengembara ke langit me­ng­hadap Allah SWT. Peristiwa yang mencarik adat ini melampaui kemajuan teknologi dan garapan pemikiran manusia yang terhad lagi terbatas.
Allah SWT berfirman: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Isra’ ayat 1).
Demi menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai iktibar dalam melalui kehidupan dunia dan akhirat sebagaimana didambakan oleh setiap Muslimin maka program ceramah Israk Mikraj yang diadakan di sana sini tidaklah sekadar dijadikan halwa te­linga dan mengisi masa lapang sahaja. Banyak iktibar dan pengajaran boleh diteliti daripada peris­tiwa agung ini.
Israk Mikraj bukanlah sekadar cerita biasa yang diulang tayang setiap kali menjelang tanggal 27 Rejab. Lebih daripada itu ia mengajak Muslimin untuk memperkukuhkan pegangan berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan memelihara daripada sebarang bentuk penyelewengan akidah yang membinasakan.
Perjalanan Baginda Nabi Muhammad SAW dari masjid ke masjid menunjukkan betapa masjid memainkan peranan penting bagi melestarikan kehidupan harmoni dunia dan akhirat.
Kewujudan masjid bukanlah sekadar syiar keagamaan. Menjadi tanggungjawab Muslimin untuk mengimarahkan masjid dan memelihara kesuciannya sepanjang masa. Masjid juga bukan sekadar tempat untuk solat Jumaat, tempat mengadakan majlis akad nikah, tempat sembahyang jenazah sahaja.
Fungsinya luas sehingga pada zaman Nabi SAW menjadi tempat menyambut delegasi luar negara dan menyelesaikan masalah umat. Kaum Muslimin juga diingatkan supaya tidak sombong atau tidak mempedulikan panggilan Allah SWT untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid.
Kerana itulah saranan untuk menggapai kejayaan duniawi dan ukhrawi. Kesibukan tugasan seharian juga bukanlah penghalang untuk melaksanakan solat di masjid. Malah boleh jadi dengan cara itu segala urusan seharian dipermudahkan di samping beroleh nikmat keberkatan masa, rezeki dan umur yang diharap-harapkan oleh para Mukminin.
Dalam perjalanan Mikraj ba­ginda Nabi SAW ditunjukkan de­ngan gambaran manusia yang menanam dan menuai hasil tanaman mereka pada hari yang sama, tanpa henti.
Ketika ditanya kepada Malaikat Jibril yang menemaninya, dikatakan itu ialah balasan orang yang berjihad di jalan Allah SWT dengan dilipat gandakan amalan mereka sehingga 700 kali ganda di sisi Allah SWT.
Justeru setiap Muslimin perlu berjihad dalam melaksanakan pelbagai ketaatan tanpa rasa jemu. Namun, realitinya ia bukan mudah untuk dilaksanakan. Pas­tinya terdapat pelbagai halangan dan ujian dalam mendekatkan diri kepada Ilahi sehingga memerlukan pengorbanan tenaga, masa dan wang ringgit.
Malah dalam keadaan tertentu seseorang kemungkinan terpaksa mengorbankan keseronokan dunia yang sementara demi berharap ganjaran di hari kemudian. Yakin dan percayalah segala amalan ibadah dan kebajikan pasti dibalas dengan ganjaran yang se­timpal oleh-Nya.
Pelbagai gambaran dosa dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW sepanjang perjalanan Mikraj seharusnya dijadikan iktibar oleh kaum Muslimin untuk berhenti daripada terus bergelumang dosa.
Tidak ada gunanya berbangga-bangga dan menunjukkan kepada dunia akan pelbagai dosa yang sengaja dilakukan kerana kelak akan diseksa dengan azab yang tidak tertanggung.
Golongan yang suka memuat naik pelbagai peri laku maksiat ke media sosial sebagai contoh­nya dinasihatkan supaya berfikir seribu kali sebelum berbuat demikian kerana akan dipertanggungjawabkan dengan dosa seluruh dunia yang menontonnya. Ini termasuklah memaparkan gambar tidak menutup aurat, menyebarkan fitnah dan berita palsu.
Golongan ini diingatkan de­ngan gambaran manusia yang memotong lidahnya berulang kali sebagai balasan memfitnah, mengumpat dan mengeji sesama manusia.
Solat lima waktu yang difardukan pada malam tersebut secara langsung oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW menunjukkan kepentingan solat dalam mempertautkan hubu­ngan makhluk dengan khalik (Pencipta).
Maka ibadah solat tidak patut dikesampingkan dalam kehidupan Muslim. Ia hendaklah dilakukan dengan khusyuk, tawaduk sambil berharap keampunan dan keredaan-Nya. Seseorang yang menjaga solat pasti akan dipermudah segala urusan sebaliknya sesiapa yang mengabaikan solat kemungkinan berhadapan dengan pelbagai musibah dalam mengharungi liku-liku kehidupan.
Perjalanan Israk Mikraj menun­­jukkan betapa Allah SWT Maha Berkuasa untuk menjadikan segala sesuatu termasuk yang tidak dapat digambarkan oleh logik pemikiran manusia. Untuk itu setiap insan wajib meletakkan pergantungan hanya kepada-Nya.
Usah mendabik dada dan berbangga dengan segala pencapaian­ yang ada kerana tanpa izin dan perkenan daripada -Nya, manusia ti­dak mampu melakukan apa-apa.
Allah SWT juga Maha Berkuasa untuk menguji hambanya dengan ujian kehilangan nyawa, kekurangan rezeki, ketakutan dan ke­sedihan sehingga seseorang yang terpelihara daripada musibah disunatkan pula me­lakukan sujud sebagai tanda bersyukur.
Sehubungan itu peringatan Israk dan Mikraj hendaklah dijadikan iktibar dan pengajaran untuk terus memperkukuh hubungan dengan Allah SWT melalui apa sahaja aktiviti ibadat yang disyariatkan. Apatah lagi menjelang bulan Ramadan al-Mubarak yang akan kunjung tiba tidak berapa lama lagi.
DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.

Sumber:
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/israk-mikraj-iktibar-sepanjang-zaman-1.647654#ixzz5CesHuIjr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Khasiat Buah Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan

(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)   18 Khasiat Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan | Bidara (Nama...