Cukuplah Sekali-JJ

Ahad, 22 April 2012

Ilham 'kuasa ghaib'


BESAR DAN LUAS... pemandangan di dalam.
BESAR DAN LUAS... pemandangan di dalam.
UNIK... Burgess hanya membelanjakan RM36,000 untuk menyiapkan rumah ini.
UNIK... Burgess hanya membelanjakan RM36,000 untuk menyiapkan rumah ini.
RUMAH di atas pokok paling tinggi di dunia yang terletak di Crossville, Tennessee, Amerika Syarikat, pasti menjadikan rumah keluarga Robinson kelihatan sangat kecil.
Ia begitu besar kerana pemiliknya mendakwa dia membinanya selepas diarah oleh kuasa ghaib.

Filem Disney yang diterbitkan pada 1960 mengenai keluarga yang terdampar di sebuah pulau selepas kapal mereka musnah di laut, menggambarkan rumah di atas pokok yang sungguh menarik, siap dengan kincir anginnya tersendiri.

Namun rumah keluarga Robinson itu akan kelihatan kecil jika dibandingkan dengan struktur ini.

Pemiliknya, Horace Burgess, berkata dia mengambil masa 11 tahun untuk menyiapkan ran gergasi ini.

Menurut Burgess, yang menghuni rumah kayu 10 tingkat itu, dia mula membinanya pada 1933 selepas mendapat ilham daripada satu kuasa ghaib yang memberitahunya, dia tidak akan keputusan bahan jika membina rumah itu.


Ran gergasi itu mempunyai keluasan 3,500 meter persegi tetapi dia hanya membelanjakan AS$12,000 (RM36,000) kerana sikap jimat cermatnya yang menggunakan bahan kitar semula.

Di dalamnya ada tangga berpusing, tempat perlindungan, pentas koir, gelanggang bola keranjang, bilik yang tidak terkira banyaknya, laluan dan balkoni.

Gambar ini dirakam oleh jurufoto, Tom Whetton baru-baru ini.

Katanya: “Rumah di atas pokok ini sungguh menakjubkan. Anda tidak akan dapat menghargai kebesaran rumah itu kecuali anda berdiri di sebelahnya. Ia sungguh besar.

“Saya diberitahu, keseluruhan rumah itu hanya disokong oleh enam pokok dan Burgess menggunakan 258,000 paku saja untuk membinanya.

“Ia pasti menjadi impian setiap kanak-kanak. Malah, orang tua seperti saya juga seronok untuk masuk ke dalamnya.”

Sumber:hmetro

Khamis, 12 April 2012

Jangan buang helaian al-Quran sesuka hati – JHEAT


KUALA TERENGGANU – Pengusaha pusat fotostat dinasihatkan supaya jangan membuang helaian al-Quran sewenang-wenangnya bagi memelihara kesucian ayat suci itu.
Timbalan Pengerusi Agama dan Penerangan Negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, pengusaha pusat fotostat perlu lebih peka dalam menjaga kesucian al-Quran dengan tidak membiarkan naskhah suci itu terabai.
“Kita tidak mahu kertas-kertas al-Quran ini dicampakkan begitu sahaja dan dibuang ke dalam tong sampah bersama-sama sampah dan kotoran lain selepas melakukan proses salinan,” tegasnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Selain itu, menurut Muhammad Ramli, jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini dinasihatkan supaya melupuskan al-Quran buruk secara baik dan jangan membiarkannya berlonggok di dalam stor.
Justeru, katanya, satu pekeliling akan dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu (JHEAT) kepada semua masjid agar naskhah al-Quran yang telah rosak dapat dilupuskan dengan baik.
Sumber:kosmo

Rabu, 11 April 2012

Elakkan 'tunai segera' kad kredit


AUDREY LIM risau kerana dia kekurangan wang tunai dalam simpanan. Disebabkan keperluan membeli barangan kegunaan harian, beliau telah bertindak menggunakan kemudahan pendahuluan wang tunai dengan mengguna kad kredit di mesin juruwang automatik (ATM).
"Saya keluarkan RM250, tetapi terperanjat bila terima bil kad kredit. Saya dikenakan caj pendahuluan tunai sebanyak RM50 bagi transaksi tersebut. Itu adalah 25 peratus daripada wang tunai yang saya keluarkan.
"Saya sepatutnya dengar nasihat kawan. Mereka beritahu guna kad kredit bagi pendahuluan tunai adalah tidak digalakkan kerana faedah yang dikenakan tinggi selain caj wang pendahuluan yang juga tinggi," cerita Audrey baru-baru ini.
"Ia lebih teruk daripada meminjam di pajak gadai," keluhnya.
Konsultan kewangan, Ng Lai Wai pula berkata, membuat pengeluaran pendahuluan tunai menggunakan kad kredit adalah satu tindakan berisiko, mahal dan membawa bersama potensi menanggung beban hutang jika ia tidak dibayar segera.
"Pendahuluan tunai datang dengan caj, antara satu hingga empat peratus daripada jumlah pengeluaran. Ia juga punya kadar faedah yang tinggi jika dibandingkan dengan membuat pembelian biasa bila guna kad kredit," jelas Lai Wai.
Menurut Lai Wai, ada bank yang mengenakan bayaran sehingga RM50 bagi setiap transaksi pengeluaran wang tunai pendahuluan.

Lima langkah elak anak mencarut


NUR SYAZWANI MEHAT
31 Mac 2012
SEJAK dilahirkan lagi, bayi sudah mula berkomunikasi dengan alam sekelilingnya khususnya ibu bapa. Namun, pada peringkat awal,  bayi berkomunikasi dengan cara yang berbeza iaitu berkomunikasi melalui bahasa badan dan tangisan sehinggalah bayi itu mula menyebut perkataan ‘mama’ atau ‘mak’.
Komunikasi di kalangan kanak-kanak adalah satu cara untuk menyampaikan maksud hati atau mempertahankan diri dalam bentuk perkataan atau bahasa badan dan mahu difahami dan disayangi. Pada peringkat awal, mungkin komunikasi kanak-kanak tidak dipengaruhi dengan unsur negatif seterusnya mendedahkan mereka kepada mencarut. Namun, setelah mereka meningkat usia, perkara ini sukar dibendung.
Biar pun begitu, Pensyarah Psikologi dan Pembangunan Manusia, Foundation Studies and Extension Education (FOSEE), Universiti Multimedia, Hawa Rahmat berpendapat komunikasi di kalangan kanak-kanak kebiasaannya akan dipengaruhi oleh orang di sekelilingnya terutama ibu dan bapa. Kanak-kanak akan lebih terdedah kepada mencarut jika  mereka kerap kali mendengar perkataan, perbuatan atau gambar negatif atau mencarut. Lama-kelamaan, besar kemungkinan mereka akan membesar dengan bahasa yang tidak baik.
Bagi menangani masalah ini agar tidak berleluasa,  Hawa Rahmat mengambil kira beberapa langkah di bawah:

IBU BAPA CONTOH TERBAIK
Ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik kepada anak-anak dalam mendidik mereka berkomunikasi. Sebagai ibu bapa,  gunakan bahasa yang baik dalam berkomunikasi. Elakkan diri daripada menggunakan perkataan yang kasar seperti ‘bodoh’. Teori ‘social learning’ atau ‘modelling’ ada mengatakan bahawa kanak-kanak belajar melalui pemerhatian.

Tip Pemilikan Hartanah: Beli Rumah Vs Sewa Rumah


HAZIQUE ZULKIFLI
31 Mac 2012
IMPIANA
Kediaman yang indah dengan penataan interior mengikut cita rasa tersendiri tentunya menjadi impian setiap insan. Bagaimanapun, sebelum ia direalisasikan, pastinya sebuah rumah amat diperlukan. Sama ada dibeli ataupun disewa, pilihan ini terbentang luas di hadapan mata dan terletak di tangan anda untuk menentukannya.
Bermula daripada isu Mac 2012, IMPIANA akan berbicara tentang tip pemilikan hartanah yang perlu diketahui oleh para pembaca melalui segmen Deko Sana Sini. Melalui segmen ini, penulis cuba memberikan gambaran sedikit sebanyak tentang isu dan aspek dalam memiliki hartanah yang akan dikupas melalui beberapa isu IMPIANA akan datang.
Penulis percaya memiliki sebuah kediaman indah merupakan impian setiap orang. Baik yang berkemampuan mahupun tidak, pasti tersemat di sanubari kita untuk berteduh dan tinggal bersama tersayang di sebuah ruang bernama rumah. Tafsiran kita tentang rumah rata-ratanya sama, iaitu sebagai sebuah ruang dalam struktur yang lengkap dengan dinding dan bumbung yang dapat menahan daripada cuaca dan iklim serta penceroboh. Ruang ini juga menjadi ruang aktiviti bagi kebanyakan orang sebagai tempat tinggal, bermain dan bekerja, selain membesarkan anak-anak tersayang.
Tahun 2012 diramal bakal menjadi tahun yang penuh dengan cabaran. Dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, ia tidak menjadi halangan buat kita semua untuk terus bergerak dan mara.  Buat mereka yang baru memulakan langkah dalam hidup, baik yang baru menamatkan pengajian, mahupun yang baru sahaja membina rumah tangga, pastinya rumah merupakan keperluan asas yang diperlukan oleh semua.
Bagi yang tercari-cari rumah idaman, pasti terdapat persoalan besar yang muncul dalam benak fikiran. Tentunya, persoalan sama ada mahu membeli ataupun menyewa rumah sering bermain di fikiran dan kedua-duanya memiliki kelebihan serta kekurangan tersendiri. Penulis ingin mengupas kedua-dua pilihan ini dengan melihat kepada perspektif yang mencakupi faktor-faktor tertentu, seperti kewangan, masa, proses dokumentasi dan kebebasan.

Beli P.hD RM200


MENURUT Akhbar, pembeli ijazah Ph.D palsu berniat untuk menipu.


ISNIN lalu, Presiden Hungary, Pal Schmitt melepaskan jawatannya selepas didapati memplagiat tesis sarjana kedoktoran (Ph.D) yang ditulisnya 20 tahun lalu.
Tesis mengenai Sukan Olimpik itu dihantar kepada Universiti Budapest Semmelweis di Hungary untuk dinilai bagi membolehkan Schmitt meraih gelaran doktor falsafah. Bagaimanapun, ia telah disahkan diciplak bulat-bulat.
Minggu lalu, jawatankuasa universiti berkenaan melucutkan gelaran tersebut dan mendedahkan kepada media bahawa ia bukan kajian tulen.
Sebaliknya, tesis setebal 200 halaman itu sebenarnya hasil terjemahan kajian dua penyelidik Bulgaria, Nikolai Georgiev dan Klaus Heineman pada tahun 1987.
Isu plagiat khususnya di kolej dan universiti sering dianggap sebagai kesalahan akademik semata-mata. Ramai berpendapat ia bukanlah satu kesalahan di sisi undang-undang atau dengan bahasa mudahnya, bukan satu jenayah.
Tanggapan ini sebenarnya salah sama sekali. Di Malaysia, mereka yang terlibat dengan aktiviti plagiat boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuklah disingkirkan, dilucut kelayakan malah penciplak boleh disabitkan sebagai pesalah mengikut Akta Hak Cipta 1987.
Jika puluhan tahun dahulu, ada yang mengambil jalan pintas untuk mendapatkan ijazah dengan meniru, situasi pada hari ini lebih teruk lagi.
“Membeli ijazah terutamanya Ph.D melalui Internet sudah menjadi satu trend baharu khususnya melibatkan segelintir ahli perniagaan dan pakar motivasi di negara ini,” ujar Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Malaysia, Datuk Akhbar Satar.
Berpengalaman mengendalikan antara 40 hingga 50 kes penipuan ijazah Ph.D setahun sejak tahun 2004, beliau memberitahu, kesemua pemegang pangkat doktor palsu itu mempunyai personaliti yang hampir sama.
“Mereka manusia yang dahagakan pengiktirafan, lebih-lebih lagi daripada orang yang baru dikenali. Mereka mahu dipandang tinggi, berilmu, berkebolehan dan boleh dijadikan pakar rujuk dalam sesuatu bidang.
“Disebabkan itu, mereka bangga memperkenalkan diri sebagai ‘Dr.’ sedangkan ada dalam kalangan mereka tamat tingkatan lima sahaja.
“Dengan gelaran ‘Dr.’ yang dijaja itu juga mereka diberi lebih peluang dan keutamaan untuk menjawat jawatan penting seperti pengarah dan perunding dalam sesebuah organisasi,” kata Akhbar.
Cetak Ph.D sendiri

SALAH satu daripada berpuluh-puluh laman web yang menawarkan ijazah palsu.


Rumusan Akhbar itu ada benarnya. Kes penipuan ijazah semakin berleluasa malah ia sukar dibendung. Malah, ijazah itu boleh dibeli melalui Internet.
Difahamkan, ramai ahli politik, ahli perniagaan, pakar motivasi, ahli akademik, penulis, serta perunding pelaburan dan insurans yang menggunakan taktik sama untuk mendapatkan kepercayaan pihak tertentu dan masyarakat.
Walaupun Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataanya menafikan tiada institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang mengeluarkan sijil palsu, tinjauan di enjin carian Google mendapati terdapat 2,680,000 laman berkaitan penjualan transkrip diploma, ijazah, sarjana dan Ph.D palsu.
Boleh dikatakan hampir kesemua sindiket ijazah palsu Internet itu menawarkan sijil daripada peringkat diploma hingga ke Ph.D. Ia boleh dibeli secara dalam talian, tanpa perlu menghadiri kelas, tidak perlu menjalankan kaji selidik untuk penulisan tesis malah tidak perlu berjumpa dengan pensyarah seperti program pengajian biasa.
Laman-laman sesawang yang kebanyakannya beroperasi dari luar negara itu juga saling bersaing dengan menawarkan harga paling murah untuk mendapatkan transkrip ijazah.
Malah, ada yang menawarkannya pada harga serendah AS$69 (RM200) sahaja.
Pembeli juga diberi pilihan untuk memilih sendiri bidang, tahun pengajian dan lokasi universiti seperti Universiti Concordia, Universiti St. Regis, Universiti St. Lourdes, Universiti All Saints American dan Universiti Heartland, semuanya didakwa terletak di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
“Kebanyakan universiti ini tidak wujud. Ada juga yang wujud tetapi program yang ditawarkan tidak mendapat akreditasi di negara mereka sendiri apatah lagi di Malaysia.
“Isu membeli sijil palsu sudah banyak kali diketengahkan tetapi setakat ini saya belum lihat ada tindakan drastik yang diambil. Ramai yang lebih suka pejamkan mata,” kata Akhbar.
Pada tahun 2009, akhbar Spokesmen Review di Washington, AS melaporkan penjualan ijazah palsu di negara itu dalam sebulan mampu menarik hingga 10,000 pembeli.
Daripada angka itu, lebih daripada 50 pembeli adalah rakyat Malaysia. Dianggarkan AS$7.3 juta (RM22.4 juta) dibelanjakan untuk membeli ijazah palsu tersebut.
“Pembeli tidak perlu tunggu sehingga empat ke lima tahun pengajian, sebaliknya sijil ijazah atau Ph.D akan mereka peroleh selepas tujuh hari pembayaran dibuat.
“Malah, mereka juga boleh mencetak sendiri sijil tersebut,” katanya.
Tambah Akhbar, sungguhpun ada pihak yang menganggap pembelian Ph.D palsu ini sebagai perkara remeh, tetapi setiap individu perlu memiliki sikap integriti, jujur dan telus.
“Jangan asyik sangat hendak mengejar nama dan pangkat dengan cara menipu, akhirnya nanti ludah terpalit ke muka sendiri,” pesan Akhbar.
Sumber:kosmo

Selasa, 10 April 2012

5 sebab suami berubah kasih


SITI ZURINA MAT SAMAN
30 Mac 2012
suami isteri
SETELAH hampir 20 tahun mendirikan rumah tangga, akhirnya mahligai yang dibina atas dasar cinta sama cinta menemui kemusnahan. Bagi Musliha, dia bagaikan kehilangan kata-kata dengan perceraian yang berlaku sementelah anak-anak sudah semakin besar. Pada mulanya,  dia sukar untuk menerima hakikat namun akhirnya reda dengan ketentuan Illahi. Kata orang sudah tiada jodoh. Musliha cuba mencari kesilapan diri dan merenungi apa kekurangan dirinya hingga dibuang begitu sahaja oleh bekas suaminya.
Apakah dia sebenarnya masih tidak mengenali dan memahami sikap sebenar suami ataupun suaminya sudah berubah kasih. Ini kerana sepanjang berkongsi hidup,  Musliha memang menyediakan keperluan suaminya dari segi zahir dan batin. Sebenarnya kecurangan pasangan ini ada kalanya berlaku tanpa kita sedari. Walaupun pada perkara remeh, namun  jika tidak dibendung pasti akan menyebabkan kemusnahan dalam rumah tangga yang dibina. Sebagai pasangan suami isteri, kita perlu tahu kenapa pasangan boleh berlaku curang dalam perhubungan itu.

Tidak menyediakan keperluan
Kesibukan bekerja menyebabkan kita tidak sempat untuk menyediakan keperluan harian seperti makan minumnya. Apabila pasangan asyik makan di luar pastinya dia akan bertemu dengan ramai orang dan mungkin ada antaranya yang berkenan di hati. Jadi jangan salahkan suami jika dia bersikap curang di belakang anda.

Kemasukan secara online ke universiti menerusi easyuni.com


10 April 2012
Datuk Saifuddin Abdullah
KUALA LUMPUR - Pelajar kini boleh memilih sama ada memohon kemasukan ke universiti tempatan atau antarabangsa secara online berikutan pelancaran sebuah portal berhubung pengambilan dan kandungan pengajian tinggi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata portal easyuni.com menyenaraikan lebih 34,000 kursus dan program dari 362 kolej serta universiti di lebih 20 negara.

"Portal ini menawarkan satu platform komprehensif dalam permohonan ke kolej dan universiti swasta tempatan serta antarabangsa untuk lepasan sekolah dan golongan dewasa yang bekerja.

"Mereka (pemohon) boleh mencari, membanding, menyenarai pendek serta memilih kolej atau universiti mengikut kedudukan dan menghantar permohonan secara percuma," katanya kepada pemberita selepas melancarkan portal pendidikan secara online milik syarikat berstatus MSC, Hescar Sdn Bhd di sini.

Antara universiti yang disenaraikan dalam portal itu Universiti Iskandariah di Mesir, Universiti Tasmania di Australia, Universiti British Columbia di Kanada, Akademi Fesyen Antarabangsa di Perancis (IFA), Universiti Lincoln di New Zealand dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Hescar Edwin Tay berkata portal itu, yang diwujudkan tahun lepas, menerima lebih 9,800 pelajar berdaftar yang berjaya ditempatkan di pelbagai universiti di seluruh dunia. – Bernama
Sumber:sinar

SPM 2011: 1,609 pelajar dapat 9 A+ hingga 12 A+ ditawar bursary


10 April 2012
KUALA LUMPUR - Semua 1,609 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 9 A+ hingga 12 A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 ditawarkan "bursary" (bantuan kewangan pengajian) secara automatik untuk mengikuti pengajian di peringkat persediaan atau prauniversiti dalam negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan kewangan itu disediakan Kementerian Pelajaran untuk pengajian di peringkat prauniversiti sebelum pelajar melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti dalam atau luar negara.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata tawaran bantuan kewangan pengajian kepada 1,020 pelajar yang memperoleh 9A+, 492 pelajar 10A+, 90 pelajar 11 A+ dan tujuh pelajar 12 A+ adalah secara automatik tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang itu adalah tanda keprihatinan kerajaan mengiktiraf kecemerlangan pelajar berkenaan.

"Kerajaan sentiasa prihatin dengan keluhan ibu bapa pelajar yang menunjukkan keputusan peperiksaan cemerlang tetapi tidak berjaya mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran setiap kali keputusan penajaan diumumkan kerana persaingan amat sengit dan bilangan yang ramai mendapat keputusan cemerlang.

"Pada masa sama, kerajaan juga mempunyai kekangan daripada segi peruntukan kewangan berikutan kos pendidikan yang semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sampai bila pun dia tetap perempuan


KHALILAH GUSTI HASSAN
10 April 2012
muka depan
KUALA LUMPUR – Teka-teki berhubung jantina pengusaha produk kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah, akhirnya terungkai dengan pengesahan bahawa dia adalah seorang perempuan.
Pengesahan itu dibuat secara eksklusif kepadaSinar Harian oleh ibu saudara Sri Wani, Connie Chee, 45, seorang kerani di sebuah syarikat swasta, di sini, semalam.
Connie memberitahu, Sri Wani diserahkan kepada ibu bapanya (Connie) sejak lahir dan anak saudaranya itu membesar sebagai seorang perempuan.
“Sampai bila-bila pun dia tetap perempuan kerana itu adalah dia. Saya ada bukti kukuh. Saya dan adik-beradik lain membesar bersamanya, malah saya yang mandikan dia.
“Dari kecil sampai sekarang, Sri Wani tidak rahsiakan apa-apa dengan saya. (Oleh itu) hentikanlah fitnah. Kasihankan dia,” katanya dalam nada sedih mengenangkan nasib Sri Wani.
Connie menambah, MyKad Sri Wani bukan sahaja tertera perkataan perempuan, malah kad perakuan Islam Sri Wani juga mencatat Sri Wani sebagai perempuan.

Menceritakan zaman kanak-kanak Sri Wani, Connie berkata, dia seorang pelajar pintar dan aktif di sekolahnya di Bentong, Pahang.

Anak saudaranya itu juga gemar bercampur dengan pelajar Melayu.

“Dia bijak subjek Bahasa Melayu, malah pertuturannya dalam Bahasa Melayu sangat fasih. Jadi, bila dia dewasa dan maklumkan mahu memeluk Islam, keluarga tidak terkejut.

“Mula-mula, atuk dan nenek dia memang marah. Tapi itu hak dia, asalkan dia bahagia,” kata Connie.

Ditanya reaksinya mengenai tindakan suami Sri Wani, Bahrom Sanugi, 61, memfailkan permohonan pemeriksaan jantina terhadap Sri Wani di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur, Connie menyifatkannya sebagai memeranjatkan.

“Saya tidak faham kenapa selepas lebih setahun berumahtangga, timbul isu mengenai jantina.

"Kalau dia (Sri Wani) betul-betul lelaki, kenapa suami pertamanya tidak mempertikaikannya dulu?.

Ahad, 8 April 2012

Beli coklat, percuma ulat


NURUL FATIHAH SULAINI
8 April 2012
Beli coklat, percuma ulat
ALOR SETAR - Rasa geli dan loya!, ­begitulah yang dihadapi tiga beranak ­apabila hasrat menikmati coklat yang baru dibeli dari sebuah pasar raya terbantut ketika melihat beberapa ekor ulat keluar dari kepingannya.
Ahmad Pouzai, 55, bersama isteri dan anaknya mula menyedari keadaan luar ­biasa coklat itu apabila membuka ­lapisan pembungkus coklat ketika ­berada dalam kereta selepas selesai membeli ­barangan keperluan kira-kira jam 10.50 pagi semalam.
“Entah kenapa tiba-tiba timbul perasaan ingin mencuba coklat ini, mungkin kerana keluaran tempatan dan ­diedarkan ke luar negara seperti United Kingdom, Hong Kong serta Singapura sedangkan saya sendiri tidak pernah membelinya ­sebelum ini.
“Sebagai langkah berwaspada ­setiap kali membeli, saya membaca dulu label kandungan coklat, tarikh halal dan yang pastinya tarikh luput coklat itu pada 16 Januari tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahmad berkata, isterinya sempat ­makan sedikit coklat berkenaan kerana belum menyedari kewujudan ulat yang ada pada bahagian bawahnya sebelum ­berkongsi bersama.=
“Namun, sewaktu saya ingin mematahkan kepingan coklat seterusnya, saya perasan seekor ulat jatuh ke ­tempat ­duduk sebelum membuat ­keputusan memeriksa keseluruhan coklat dan menemui tiga ekor ulat.

Warga emas bunuh dan makan isteri


8 April 2012
Warga emas bunuh dan makan isteri
BOSTON - Seorang warga emas berumur 79 tahun yang baru sahaja berhijrah dari China ke Massachusetts, Amerika Syarikat (AS), mengaku tidak bersalah dan keliru dengan pertuduhan terhadapnya iaitu membunuh kejam isteri pertamanya, kelmarin.
Menurut polis, Jeiming Liu yang ditemui anak lelakinya, dalam keadaan duduk di atas sebuah kerusi malas serta berlumuran darah pada tangan, mulut dan muka sambil memandang ke luar kondominium serta dikelilingi cebisan daging yang dipercayai milik isterinya.
 Kemudian dia menjumpai ibunya, Yuee Zhou, 73, dalam sebuah bilik tidur dengan keadaan berbaring, berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah pada bahagian lengan tangan.
 Namun, anak lelaki Liu yakin ayahnya tidak mampu melakukan kekejaman itu kerana mempunyai saiz fizikal yang kecil.
 Liu yang asyik mengulangi ayat ‘Ini bukan ibu kamu’ sejak ditemui, dipercayai menghidapi penyakit Alzheimer atau demensia.
 Penolong Pendakwa Raya Daerah, Michael D. McHugh berkata, Liu mungkin memakan cebisan daging isterinya berikutan sebahagian lengan kiri mangsa berlubang dan beberapa batang jari turut ditemui di sekitar kondominium mereka.
Sumber: sinar

Khamis, 5 April 2012

Preve model baru Proton


NORHANA FARIZA HARUN
4 April 2012
Preve model baru Proton
PUTRAJAYA - Teka teki nama sebenar model kereta terbaru Proton akhirnya terjawab apabila Proton Holdings Berhad (Proton) mengumumkan Proton Preve sebagai model terbaru keluarannya yang selama ini menggunakan kod P3-21A.
Nama Preve yang diambil daripada perkataan Inggeris, Proof (bukti) ini membawa mesej bahawa kereta itu adalah bukti kepada visi dan komitmen Proton yang berterusan.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, nama tersebut juga adalah seiring dengan hasrat Proton untuk membawa Proton Preve ke peringkat global.
“Jika ingin ke peringkat global, nama yang dipilih juga haruslah sesuai dan bersifat antarabangsa. Justeru itu, kami memilih Preve bagi membuktikan ianya lebih bermakna,”katanya selepas majlis pandu uji Proton Preve bersama media disini, hari ini.
Dengan berkonsepkan sedan keluarga yang elegan dan selesa, Proton Preve disasarkan untuk pengguna yang sudah berkahwin berusia di antara 20 hingga lewat 40 tahun serta untuk mereka yang ingin memiliki kereta tambahan.
Menggunakan enjin 1.6 Liter, dan teknologi RESS (kejuruteraan boleh dipercayai dan sistem keselamatan) yang akan memastikan pemanduan dan pengendalian yang cemerlang, model ini turut direka bagi mencapai standard kualiti seperti Jepun.
Didatangkan dengan tiga varian pada harga bermula daripada RM62,000 sehingga RM75,000, dan enam pilihan warna, Proton Preve akan dilancarkan sedikit masa lagi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, Proton Preve akan mula memasuki pasaran Asia dalam tempoh tiga bulan selepas pelancarannya di Malaysia dan menyasarkan jumlah eksport menyumbang lebih 30 peratus kepada jumlah keseluruhan jualan model Proton untuk tahun ini.
Sumber:sinar

Khasiat Buah Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan

(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)   18 Khasiat Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan | Bidara (Nama...