Cukuplah Sekali-JJ

Rabu, 11 April 2012

Beli P.hD RM200


MENURUT Akhbar, pembeli ijazah Ph.D palsu berniat untuk menipu.


ISNIN lalu, Presiden Hungary, Pal Schmitt melepaskan jawatannya selepas didapati memplagiat tesis sarjana kedoktoran (Ph.D) yang ditulisnya 20 tahun lalu.
Tesis mengenai Sukan Olimpik itu dihantar kepada Universiti Budapest Semmelweis di Hungary untuk dinilai bagi membolehkan Schmitt meraih gelaran doktor falsafah. Bagaimanapun, ia telah disahkan diciplak bulat-bulat.
Minggu lalu, jawatankuasa universiti berkenaan melucutkan gelaran tersebut dan mendedahkan kepada media bahawa ia bukan kajian tulen.
Sebaliknya, tesis setebal 200 halaman itu sebenarnya hasil terjemahan kajian dua penyelidik Bulgaria, Nikolai Georgiev dan Klaus Heineman pada tahun 1987.
Isu plagiat khususnya di kolej dan universiti sering dianggap sebagai kesalahan akademik semata-mata. Ramai berpendapat ia bukanlah satu kesalahan di sisi undang-undang atau dengan bahasa mudahnya, bukan satu jenayah.
Tanggapan ini sebenarnya salah sama sekali. Di Malaysia, mereka yang terlibat dengan aktiviti plagiat boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuklah disingkirkan, dilucut kelayakan malah penciplak boleh disabitkan sebagai pesalah mengikut Akta Hak Cipta 1987.
Jika puluhan tahun dahulu, ada yang mengambil jalan pintas untuk mendapatkan ijazah dengan meniru, situasi pada hari ini lebih teruk lagi.
“Membeli ijazah terutamanya Ph.D melalui Internet sudah menjadi satu trend baharu khususnya melibatkan segelintir ahli perniagaan dan pakar motivasi di negara ini,” ujar Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Malaysia, Datuk Akhbar Satar.
Berpengalaman mengendalikan antara 40 hingga 50 kes penipuan ijazah Ph.D setahun sejak tahun 2004, beliau memberitahu, kesemua pemegang pangkat doktor palsu itu mempunyai personaliti yang hampir sama.
“Mereka manusia yang dahagakan pengiktirafan, lebih-lebih lagi daripada orang yang baru dikenali. Mereka mahu dipandang tinggi, berilmu, berkebolehan dan boleh dijadikan pakar rujuk dalam sesuatu bidang.
“Disebabkan itu, mereka bangga memperkenalkan diri sebagai ‘Dr.’ sedangkan ada dalam kalangan mereka tamat tingkatan lima sahaja.
“Dengan gelaran ‘Dr.’ yang dijaja itu juga mereka diberi lebih peluang dan keutamaan untuk menjawat jawatan penting seperti pengarah dan perunding dalam sesebuah organisasi,” kata Akhbar.
Cetak Ph.D sendiri

SALAH satu daripada berpuluh-puluh laman web yang menawarkan ijazah palsu.


Rumusan Akhbar itu ada benarnya. Kes penipuan ijazah semakin berleluasa malah ia sukar dibendung. Malah, ijazah itu boleh dibeli melalui Internet.
Difahamkan, ramai ahli politik, ahli perniagaan, pakar motivasi, ahli akademik, penulis, serta perunding pelaburan dan insurans yang menggunakan taktik sama untuk mendapatkan kepercayaan pihak tertentu dan masyarakat.
Walaupun Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataanya menafikan tiada institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang mengeluarkan sijil palsu, tinjauan di enjin carian Google mendapati terdapat 2,680,000 laman berkaitan penjualan transkrip diploma, ijazah, sarjana dan Ph.D palsu.
Boleh dikatakan hampir kesemua sindiket ijazah palsu Internet itu menawarkan sijil daripada peringkat diploma hingga ke Ph.D. Ia boleh dibeli secara dalam talian, tanpa perlu menghadiri kelas, tidak perlu menjalankan kaji selidik untuk penulisan tesis malah tidak perlu berjumpa dengan pensyarah seperti program pengajian biasa.
Laman-laman sesawang yang kebanyakannya beroperasi dari luar negara itu juga saling bersaing dengan menawarkan harga paling murah untuk mendapatkan transkrip ijazah.
Malah, ada yang menawarkannya pada harga serendah AS$69 (RM200) sahaja.
Pembeli juga diberi pilihan untuk memilih sendiri bidang, tahun pengajian dan lokasi universiti seperti Universiti Concordia, Universiti St. Regis, Universiti St. Lourdes, Universiti All Saints American dan Universiti Heartland, semuanya didakwa terletak di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
“Kebanyakan universiti ini tidak wujud. Ada juga yang wujud tetapi program yang ditawarkan tidak mendapat akreditasi di negara mereka sendiri apatah lagi di Malaysia.
“Isu membeli sijil palsu sudah banyak kali diketengahkan tetapi setakat ini saya belum lihat ada tindakan drastik yang diambil. Ramai yang lebih suka pejamkan mata,” kata Akhbar.
Pada tahun 2009, akhbar Spokesmen Review di Washington, AS melaporkan penjualan ijazah palsu di negara itu dalam sebulan mampu menarik hingga 10,000 pembeli.
Daripada angka itu, lebih daripada 50 pembeli adalah rakyat Malaysia. Dianggarkan AS$7.3 juta (RM22.4 juta) dibelanjakan untuk membeli ijazah palsu tersebut.
“Pembeli tidak perlu tunggu sehingga empat ke lima tahun pengajian, sebaliknya sijil ijazah atau Ph.D akan mereka peroleh selepas tujuh hari pembayaran dibuat.
“Malah, mereka juga boleh mencetak sendiri sijil tersebut,” katanya.
Tambah Akhbar, sungguhpun ada pihak yang menganggap pembelian Ph.D palsu ini sebagai perkara remeh, tetapi setiap individu perlu memiliki sikap integriti, jujur dan telus.
“Jangan asyik sangat hendak mengejar nama dan pangkat dengan cara menipu, akhirnya nanti ludah terpalit ke muka sendiri,” pesan Akhbar.
Sumber:kosmo

1 ulasan:

  1. Itulah kemajuan teknologi...
    Kalau nak yang murah lagi...
    Sudah tentu ada yang akan cetak sendiri...
    Hehehee...

    BalasPadam

Terima kasih kerana memberi komen.

Khasiat Buah Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan

(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)   18 Khasiat Bidara Untuk Kesihatan Dan Kecantikan | Bidara (Nama...