Beliau berkata soal 'hak asasi manusia' sebenarnya mempunyai batas dan dalam konteks pengharaman ajaran Syiah, bukan hak asasi yang menjadi penekanan.
"Hak asasi ada batas, tidak semua sekali hendak guna nama hak asasi manusia sebab kalau bicara secara hak asasi manusia, bebas berbuat apa sahaja termasuklah membunuh, itu bukan hak asasi. Jadi dalam konteks kita hari ini, bukan hak asasi yang jadi penekanan.
"Dalam pentadbiran negara, kita ada hukum-hukum, termasuk mahkamah syariah, yang menentukan batas-batas untuk kita laksanakan hal-hal dan aktiviti masing-masing termasuk dalam hal mengatur keagamaan kita," katanya.
Jamil Khir bercakap kepada pemberita selepas Majlis Ihya' Ramadan dan penyerahan sumbangan amal jariah sempena sambutan ulang tahun ke-29 Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikai pengharaman ajaran Syiah di negara ini, dan menyifatkannya sebagai melanggar hak asasi manusia.
"Secara logik dan mudah, kalau agama diperlakukan dalam pelbagai bentuk, sama ada penghinaan atau mencerca agama lain, atau juga menyebarkan ajaran agama kepada orang yang sudah beragama, secara semulajadi ia akan menyebabkan kekalutan, apatah lagi dalam konteks negara Malaysia.
"Kita ada peraturan, kita amalkan ajaran ahli sunnah wal jamaah dan mazhab Shafie, jadi kita tidak membenarkan pengembangan agama dibuat kepada orang yang sudah beragama, khususnya agama Islam," katanya.
Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata keputusan pengharaman shisha dalam muzakarah fatwa semalam, bukan dibuat dengan sewenangnya sebaliknya ia hasil pandangan pelbagai pihak.
"Ada kertas kerja yang dibentangkan oleh pihak Kementerian Kesihatan, perubatan, kedoktoran, pandangan itu dirumuskan pada muzakarah... Ini bukan dibuat sewenang-wenangnya tetapi dengan penuh teliti, ketekunan dan ketaakulan yang tinggi," katanya.
Terdahulu, Jamil Khir menyampaikan sumbangan berjumlah RM136,500 kepada beberapa kelompok termasuk 290 anak yatim dan miskin serta 47 masjid dan 148 surau dari daerah Yan dan Kuala Muda.
Di SUNGAI PETANI, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata fatwa anti Syiah yang bakal digazetkan di Kedah akan dikenakan terhadap mereka yang cuba mengembangkan fahaman tersebut di negeri itu.
Beliau berkata jika seseorang itu berfahaman Syiah sejak kecil seperti orang Iran ia tidak menjadi masalah asalkan tidak menyebarkan fahaman tersebut.
"Saya nak perjelaskan kita tidak akan mempertikaikan kalau seseorang itu memang berfahaman Syiah di kalangan orang Iran dan sudah tentu kita tidak akan buat sesuatu yang memaksa beliau menukar fahamannya.
"Tetapi yang menjadi pertikaian ini adalah orang yang cuba mengembangkan fahaman Syiah dan cuba mempengaruhi umat Islam di negeri ini yang rata-ratanya ahli Sunnah," katanya kepada pemberita ketika melawat Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu di sini hari ini.
Pada majlis tersebut Mukhriz turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM10,000 kepada maahad tersebut dan sumbangan kepada 20 pelajar tahfiz. - Bernama
sumber:sinar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana memberi komen.