Tidak tahu malu!
Mohd Hariri (dua kanan) melihat lembunya yang hampir dilarikan empat lelaki dalam kejadian di Kampung Pedah, Jerantut, kelmarin.
JERANTUT - ‘Tidak tahu malu.’ Itulah ungkapan sesuai untuk empat lelaki kerana cuba melarikan seekor lembu ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat, pada bulan Ramadan pula.

Namun cubaan empat lelaki itu tidak berjaya apabila perbuatan mereka berjaya dihidu penduduk Kampung Pedah, di sini, kelmarin.

Pemilik lembu, Mohd Hariri Muhammad, 47, berkata, dia menyedari lembunya dicuri apabila dihubungi seorang rakannya, Mohd Lotfi Sidek, 47.

“Ketika pulang dari Masjid Kampung Jerantut Feri, kawan saya lihat seekor lembu terbaring di tepi jalan dan terdapat sebuah Proton Iswara Aeroback warna kelabu yang mencurigakan.

“Dia terus hubungi saya maklumkan perkara itu dan saya bergegas ke tempat kejadian sebelum terserempak dengan kereta yang dinaiki lelaki berkenaan berhampiran simpang ke laluan utama Jalan Jerantut-Maran," katanya.

Mohd Hariri kemudiannya terus mengejar kereta itu dan sebaik menghampiri simpang ke Kampung Paya Gunung, kereta terbabit terbabas, manakala empat lelaki tersebut melarikan diri.

Tidak sempat kejar

Katanya, dia yang berseorangan ketika itu tidak sempat mengejar keempat-empat lelaki berkenaan dan bertindak menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

"Saya percaya lelaki itu penduduk kampung ini," katanya.

Dia yang bekerja sebagai pembantu am di sebuah sekolah menengah, di sini, berkata, sebanyak 28 ekor lembu miliknya hilang sebelum ini dengan kerugian lebih RM40,000 dan kelmarin dia hampir kehilangan seekor lagi.

“Saya memiliki 88 ekor lembu sejak bergiat aktif sebagai penternak pada 1988.

"Sebelum ini kes curi lembu berlaku pada tengah malam, waktu Subuh dan berbuka puasa, namun mereka mungkin terpaksa ubah taktik kerana menyedari penduduk kampung sentiasa meronda pada waktu malam berikutan kes pecah rumah yang semakin berleluasa,” katanya.

Ubah suai kereta

Dalam kejadian kelmarin, pencuri terbabit disyaki menggunakan kaedah sumpitan ubat pelali untuk melemahkan lembu berdasarkan alat menyumpit yang ditemui dalam kereta yang terbabas dan turut ditemui sebilah pisau dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri itu.

Malah kereta berkenaan juga telah diubah suai untuk mengisi lembu di ruang tempat duduk penumpang bahagian belakang.

Difahamkan, dua daripada suspek telah melarikan sebuah motosikal jenis Honda EX5 warna biru milik penduduk kampung sebelum meninggalkannya di tepi jalan kira-kira 200 meter dari simpang Kampung Paya Gunung.
Polis buru suspek

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail berkata, gerakan memburu semua suspek sedang giat dilakukan.

“Semua barang kes termasuk kereta dan alat yang digunakan untuk mencuri lembu telah dibawa ke balai bagi membantu siasatan.

“Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 429 Kanun Keseksaan kerana mengkhianati haiwan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil di balai polis berhampiran,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/larikan-lembu-ketika-solat-jumaat-1.182223