Jumaat, 4 Januari 2013

DIVIDEN ASB 2012


ASB UMUM AGIHAN PENDAPATAN LEBIH KOMPETITIF
21 Disember 2012
KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.75 sen seunit dan bonus 1.15 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012.
Agihan pendapatan ini meningkat sebanyak 0.10 sen seunit berbanding yang dibayar tahun lalu (2011 : 7.65 sen seunit).
Malah, kadar ini adalah yang tertinggi bagi tempoh lima tahun, sepanjang 2008 sehingga 2012 (2008 : 7.00 sen seunit; 2009 : 7.30 sen seunit dan 2010 : 7.50 sen seunit).
Peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM8.13 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 17.5% berbanding dengan RM6.92 bilion yang dibayar pada tahun 2011.
Peruntukan bagi pembayaran bonus pula membabitkan jumlah sebanyak RM712.21 juta oleh PNB (2011 : RM600.4 juta).
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 7.82 juta pemegang unit yang melanggan 110.2 bilion unit ASB.
Sehingga 19 Disember 2012, ASB telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM8.54 bilion. Pendapatan dividen yang diterima daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM4.80 bilion atau 56.21% daripada keseluruhan pendapatan kasar, manakala pendapatan daripada keuntungan jualan saham menyumbang sebanyak RM2.68 bilion atau 31.38% dan selebihnya, iaitu RM1.06 bilion atau 12.41% adalah daripada lain-lain pendapatan.
Pengiraan pengagihan pendapatan ini adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASB yang berakhir pada 31 Disember 2012. Pengiraan bonus pula dibuat berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan yang dimiliki pelabur dalam tempoh 10 tahun bermula dari 2003 sehingga 2012.
Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus bagi tabung ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun para pemegang unit. Para pemegang unit boleh mengemaskinikan buku pelaburan ASB masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari 2013.
Semua urus niaga bagi ASB di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan pada 18 Disember 2012 sehingga 1 Januari 2013 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus.
ASB adalah sebuah tabung ekuiti pendapatan berharga tetap yang disasarkan kepada Bumiputera berumur 6 bulan ke atas. Sasaran tabung ASB ialah menjana pulangan jangka panjang yang konsisten dan kompetitif kepada pemegang unit dan pada masa yang sama, memastikan pengekalan modal pada tahap risiko yang munasabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...