Sabtu, 19 Januari 2013

Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2015




Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 
[Dibentangkan Pada 11/09/2012]

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Malaysia Education Blueprint) 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut.

Laporan berkenaan dibentang Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menurut dokumen itu, Kementerian Pelajaran berharap usaha tersebut akan memperjelaskan kepada masyarakat usaha mengubah sistem pendidikan negara dan akan mendapatkan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal berkenaan sebelum pelan dimuktamadkan pada Disember 2012 ini.


3 Gelombang Transformasi

PPP 2013-2025 yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh 13 tahun dan membabitkan tiga fasa (gelombang) dijangka bakal menempatkan sistem pendidikan Malaysia setaraf dengan sistem yang dimiliki negara membangun.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.

Fasa atau gelombang pertama membabitkan penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan, di mana keperluan guru diberikan penekanan serta pelajar akan diberikan tumpuan dalam pembangunan kemahiran asas mereka.

Antara perkara yang boleh dijangka dalam Gelombang Pertama pelaksanaan pelan tersebut mulai 2013 hingga 2015 adalah peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah serta mutu kepimpinan sekolah.

Bagi gelombang kedua, rancangan pelaksanaannya akan dilakukan berasaskan perkembangan dan pencapaian semasa.

Gelombang Kedua mulai tahun 2016 hingga 2020 akan menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerjaya baru. Bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran pula akan distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.

Untuk gelombang ketiga pula, bermula 2020 hingga 2025, kuasa autonomi membabitkan pentadbiran sekolah akan diberikan. Semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum

Kementerian Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Pelan itu juga menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam ciri kualiti utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

11 anjakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;
2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;
3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;
4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;
5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;
6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;
7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;
8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;
10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;
11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu tersebut.

Laporan pelan pembangunan itu dihasilkan selepas Kementerian Pelajaran membentuk Panel Dialog Pendidikan Negara yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Wan Zahid Wan Noordin dan kemudian menerima sebanyak 7,039 syor daripada 12,000 peserta menerusi siri jelajah di seluruh negara.

Laporan itu kemudian dinilai oleh Panel Bebas Malaysia dan Antarabangsa, selain mendapat input daripada kajian yang dijalankan institusi pengajian tinggi tempatan, Bank Dunia serta Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurut laporan itu, keputusan tersebut dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan.

Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.

Sumber: BERNAMABHarian Artikel 1 , BHarian Artikel 2Utusan dan Kosmo

INFO: 
9 Bidang Keutamaan Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan:

Dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015, sembilan bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi.

Sembilan bidang itu ialah:

* Memartabatkan profesion perguruan
* Meningkatkan kepemimpinan sekolah
* Meningkatkan kualiti sekolah
* Memantapkan standard kurikulum dan pentaksiran
* Meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa
* Pembabitan ibu bapa, swasta dan sosial sebagai rakan kongsi
* Meningkatkan kesediaan murid untuk pendidikan tinggi dan pasaran kerja
* Memperbaiki kecekapan dan keberkesanan sumber
* Membina kemampuan dan keutamaan sistem penyampaian

Sumber: BHarian

Inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

Inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan KPM, melakar pelan tindakan yang jelas dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan. Antara perkara yang boleh dijangka daripada pelaksanaannya adalah:

Gelombang Pertama mulai 2013 hingga 2015.

* Peningkatan dalam kemahiran guru
* Kualiti pengajaran
* Keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah
* Mutu kepimpinan sekolah

Gelombang Kedua dari 2016 hingga 2020

* Berlaku perubahan struktur sistem pendidikan negara yang menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerja baharu.

* Bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.

Gelombang Ketiga mulai 2021 hingga 2025

* Semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Sumber: Utusan

Sekilas Pelan Pembangunan Pendidikan:

• Pelajar pintar selesaikan UPSR dalam lima tahun dan SPM empat tahun.
• Peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan beri fokus kemahiran berfikir aras tinggi. Contoh, 80 peratus soalan UPSR berbentuk pemikiran aras tinggi.

• Sastera Inggeris diwajibkan di sekolah menengah. − Penjenamaan semula Tingkatan Enam - kelonggaran pemakaian pakaian seragam, Majlis Pelajar ditubuh.
• Bahasa Malaysia standard di SK atau SJK mulai Tahun Empat pada 2014. Kelas peralihan mansuh 2017.

• Insentif bagi guru besar/pengetua di luar bandar dan sekolah berprestasi rendah, antaranya elaun, laluan pantas kenaikan pangkat.
• Guru cemerlang boleh dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 lebih cepat berbanding purata ketika ini 25 tahun.

• Guru yang mencatat prestasi rendah selepas bimbingan, akan diberi tugas lain seperti pentadbiran, pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum.

Sumber: BHarian



Pendidikan Baru Lahirkan Modal Insan Bertaraf Dunia

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam wawancara khas mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025, memberikan sepatah jawapan untuk menyimpulkan matlamat utama semua pembaharuan yang bakal diperkenalkan itu – kualiti.

Tanpa menafikan sumbangan besar beberapa pembaharuan ke atas dasar pendidikan sebelum ini dalam memacu pembangunan negara sejak merdeka, perubahan pesat dalam pelbagai bidang di dalam dan luar negara bukan saja memerlukan pelan lebih menyeluruh dan tahan diuji, tetapi bersandarkan kajian, pandangan dan hasrat semua pihak berkepentingan, dari ibu bapa, murid sehinggalah kerajaan dan industri.

Sejak merdeka, bidang pendidikan menyaksikan beberapa transformasi bagi menangani masalah dan memenuhi matlamat negara. Penyata Razak 1956 misalnya, digubal bagi merapatkan jurang antara kaum dan memupuk perpaduan nasional melalui penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan.

Bina sahsiah seimbang

Teras perpaduan nasional dalam sistem pendidikan diperkukuhkan lagi oleh Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1974 dan 1979. Pelaksanaan pelbagai perakuan dalam laporan itu memberi sumbangan besar kepada usaha memupuk dan memperkukuhkan perpaduan nasional.

Pada 1988 pula, Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan untuk memupuk nilai murni generasi baru melalui pembinaan sahsiah yang seimbang. Melalui falsafah itu, pendidikan dijadikan alat utama untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Transformasi ketiga dalam sistem pendidikan kita tercetus apabila kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020. Untuk itu, penguasaan ilmu sains dan teknologi diberi keutamaan tanpa mengetepikan pendidikan yang holistik dan bersepadu.

Laporan awal PPP 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah permulaan satu lagi fasa transformasi pendidikan untuk menganjak kedudukan kita daripada negara membangun berpendapatan sederhana kepada negara maju berpendapatan tinggi. Bagi mencapai hasrat itu, negara memerlukan modal insan yang kreatif dan inovatif serta berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

Seperti kata Muhyiddin, modal insan yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa hanya lahir melalui pendidikan bertaraf dunia. Justeru, beliau menyasarkan dalam 15 tahun akan datang, sistem pendidikan Malaysia bakal meraih kejayaan seperti Korea Selatan, Finland, Jepun, New Zealand dan Singapura.

Kumpul pandangan pelbagai pihak

Satu perkara yang menarik mengenai proses transformasi pendidikan kali ini ialah penyertaan rakyat pelbagai lapisan dalam memberikan pandangan dan cadangan melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara yang diadakan sebaik PPP dilancarkan pada April 2012 lalu. Pada masa sama, Kementerian Pelajaran juga mendapatkan pandangan rakyat melalui Twitter, Facebook dan laman web.

Kerajaan juga mengambil kira pandangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia, hasil kajian 12 panel bebas, empat panel antarabangsa yang dilantik, laporan daripada enam institusi pengajian tinggi awam dan sembilan makmal pendidikan.

Dalam kata lain, kerajaan menyediakan ruang seluas-luasnya kepada semua pihak untuk menyatakan pandangan dalam proses transformasi pendidikan kali ini. Seharusnya tidak berlaku lagi ‘rumah siap pahat berbunyi’ apabila ia dilaksanakan tahun 2013 depan.

Oleh: Manja Ismail
Sumber: BHarian 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...