15 Februari 2012
KOTA BHARU - Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan sistem tukaran wang
asing menerusi internet adalah haram untuk disertai umat Islam.
Pengerusinya, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Dr Abdul Shukor
Husin berkata, menerusi perbincangan antara ahli jawatankuasa fatwa
didapati urus niaga berkenaan tidak memenuhi syariah.
Menurutnya, setakat ini ditetapkan ia adalah haram kerana banyak perkara yang meragukan dan syariah tidak membenarkannya.
“Saya menyeru kepada umat Islam supaya tidak perlu menyertainya
perniagaan Forex ini sehingga sekarang ia adalah haram. Urus niaga
perseorangan secara internet menerusi orang tengah ini adalah haram
disebabkan dalam jual beli ini tidak ada kontrak secara jelas,” katanya
ketika ditemui di sini.
Beliau juga memberitahu, individu yang menyertainya juga boleh terdedah kepada untung dan rugi yang tidak menentu.
Katanya, pertukaran menerusi bank dengan bank secara rasmi adalah halal
untuk disertai dan umat Islam digalakkan untuk menyertainya.
Dalam pada itu, beliau berkata masih ada yang tidak berpuas hati
walaupun pihaknya memutuskan pelaburan menerusi Skim Sijil Simpanan
Premium (SSPM) yang dikendalikan Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Kita membuat kajian dan pihak bank juga memberikan penjelasan yang
meyakinkan di samping penambahbaikan mengikut sistem mudarabah.
“Majlis Fatwa Kebangsaan juga turut berpuas hati dan tidak meragui
sistem terbabit dan pelabur harus mendapat pulangan seperti diterima
sekarang,” katanya.
Sumber:sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana memberi komen.